1.1 juta mangsa gempa bumi Nepal terdedah kepada krisis makanan

1.1 juta mangsa gempa bumi Nepal terdedah kepada krisis makanan

KATHMANDU, 4 Jun (Bernama) – Sekurang-kurangnya 1.1 juta penduduk di 11 daerah yang teruk dilanda gempa bumi di Nepal baru-baru ini, amat terdedah kepada krisis makanan dan kemungkinan mengalami kebuluran, menurut laporan Kementerian Pertanian Nepal.

Tinjauan keselamatan bekalan makanan yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian mendapati mangsa gempa bumi pada 25 April lepas dan gegaran susulan antara 8 dan 20 Mei memerlukan bekalan makanan dari luar dengan segera.

Stok makanan isi rumah telah tertimbus dan tanaman musnah, manakala aktiviti ekonomi kebanyakan keluarga di daerah-daerah dilanda gempa bumi telah terjejas, menyebabkan kebanyakan keluarga terdedah kepada krisis bekalan makanan, “ kata laporan itu.

Bagaimanapun, Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) menganggarkan lebih 1.4 juta mangsa gempa bumi memerlukan bantuan makanan di Nepal.

“Situasi bekalan makanan semakin bertambah buruk di sebahagian besar kawasan terjejas dengan kerosakan ketara kepada stok bekalan makanan isi rumah dan kemerosotan pendapatan dan kebergantungan kepada bantuan makanan terus tinggi,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, 70 peratus daripada isi rumah dalam kajian itu dilaporkan mengalami kerugian sebahagian atau keseluruhan stok makanan mereka.

Kajian dijalankan meliputi kira-kira 1,000 isi rumah di kawasan-kawasan yang terjejas.

Laporan itu mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi memastikan bekalan makanan yang stabil di kawasan-kawasan dilanda gempa.

ARTIKEL YANG SAMA