1.2 tan ganja bernilai RM4.2 juta dirampas

1.2 tan ganja bernilai RM4.2 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbesar di Malaysia tahun ini dengan merampas ganja seberat 1.2 tan bernilai RM4.2 juta di dua lokasi di Selangor dan Kedah. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan Sabtu lepas itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut diberkas.

“Serbuan yang dilakukan pada 3 petang oleh Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) itu telah berjaya menahan kereta suspek di Subang Jaya dan pemeriksaan mendapati sebanyak 160 ketulan mampat ganja berada dalam kereta berkenaan.

Selain itu, polis menemui 200 lagi ketulan mampat ganja yang disimpan di sebuah rumah di Subang Jaya setelah suspek membawa polis ke rumah itu,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini Selasa.

Hasil maklumat yang diberikan suspek, membawa kepada sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, yang dijadikan stor penyimpanan barang terlarang itu dan merampas 843 ketulan mampat ganja.