1.4 juta perlu bantuan

1.4 juta perlu bantuan

PORT-AU-PRINCE, 11 Okt – Haiti berdepan krisis kemanusiaan yang memerlukan ‘tindak balas besar-besaran’ dari masyarakat antarabangsa, menurut ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, dengan kira-kira 1.4 juta orang perlukan bantuan kecemasan ekoran landaan puting beliung Matthew minggu lalu.

Ribut taufan itu telah mengorbankan kira-kira 372 orang di negara Caribbean miskin itu, dengan angka kematian mungkin meningkat secara mendadak apabila para pekerja penyelamat tiba di kawasan yang tidak dapat dimasuki sebelumnya.

Matthew meruntuhkan rumah, mengotorkan sumber air dan membunuh binatang ternakan, dengan para mangsa merayu supaya bantuan tiba cepat.

PBB telah melancarkan rayuan kilat AS$120 juta untuk menampung keperluan Haiti bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Respons besar-besaran diperlukan,” Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon memberitahu para pemberita.

Seorang lelaki duduk di rumahnya yang musnah di Les Cayes, Haiti pada 10 Oktober, berikutan landaan Taufan Matthew minggu lalu. – AFP
Seorang lelaki duduk di rumahnya yang musnah di Les Cayes, Haiti pada 10 Oktober, berikutan landaan Taufan Matthew minggu lalu. – AFP

“Beberapa buah bandar dan kampung telah hampir terhapus dari peta. Bilangan ini dan keperluan meningkat kerana lebih banyak kawasan terjejas akan dapat didatangi,” ujarnya.

Selepas melanda Haiti pada 4 Oktober lalu, sebagai ribut taufan raksasa kategori 4, dengan membawa angin 230 kilometer sejam, Matthew melanda tenggara AS yang mana ia telah mengakibatkan kematian kira-kira 20 orang.

Di Haiti, lebih 300 buah sekolah telah rosak, manakala tanaman dan simpanan makanan telah musnah, menurut Ban lagi.

Ketua bantuan PBB Stephen O’Brien berkata ribut taufan telah mencetuskan krisis kemanusiaan teruk di negara itu sejak gempa bumi 2010.

Bahagian Grande Anse di barat daya Haiti, yang menjadi sasaran terus landaan, adalah kawasan yang paling musnah, dengan 198 kematian, 97 tercedera dan 99,400 orang tinggal di tempat perlindungan sementara. Lebih 175,500 tinggal di tempat perlindungan di tempat lain di negara itu.

Kerosakan jalan raya dan perhubungan telah melumpuhkan penghantaran bekalan.

“Sudah tentu saya memahami kekecewaan,” Jean-Luc Poncelet, wakil negara bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia PBB berkata selepas tiba di lapangan terbang berhampiran Jeremie, salah sebuah bandar yang paling teruk terjejas. – AFP