$1.6 juta dikumpul

$1.6 juta dikumpul

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, hari ini, menerima sejumlah $359,079 yang berjaya dikutip melalui penerimaan sumbangan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang julung kalinya diadakan selama 45 hari bermula 22 Oktober hingga 5 Disember 2015.

Sebanyak $64,659 berjaya dikutip oleh Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) manakala itu, sebanyak $294,417 telah dikutip oleh DST Communications Sdn Bhd, sekali gus menjadikan jumlah kutipan itu yang terbesar melalui SMS yang pernah dianjurkan oleh DST.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Uztaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hari ini menerima hasil kutipan sumbangan daripada kedua-dua buah syarikat tersebut.

Turut diterima ialah sumbangan derma daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan berjumlah $39,396 dan sumbangan daripada DST sebanyak $10,000.

Yang Berhormat Pehin menerima replika cek hasil kutipan daripada wakil DST, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.
Yang Berhormat Pehin menerima replika cek hasil kutipan daripada wakil DST, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Dengan penyerahan hari ini menjadikan jumlah terkumpul Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam kini Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya selaku Ketua Urus Setia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam berkata, sambutan dan sumbangan orang ramai terhadap tabung dana berkenaan sehingga kini sangat menggalakkan.

Katanya beberapa mekanisme kutipan berjalan dengan teratur dan sempurna seperti meletakkan tabung sumbangan di masjid-masjid seluruh negara secara tetap, di bangunan tertentu seperti di Bangunan Sumbangsih Mulia, perbankan online dan menyerahkan sumbangan terus ke urus setia tabung.

Selain itu, pemotongan gaji bagi pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan turut diadakan, kata beliau pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana.

Menurut Haji Abdul Rajid, kaedah pemotongan gaji itu walaupun baru dilaksanakan pada September 2015 dengan hanya seramai 41 orang penderma yang menyumbang sejumlah $646, namun sehingga Disember 2015, catatan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan jumlah penyumbang daripada kalangan warga perkhidmatan awam adalah seramai 1,980 orang dengan jumlah kutipan keseluruhannya sebanyak $56,592.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam sedang merangka untuk melaksanakan perancangan-perancangan mengikut peraturan yang digariskan bagi membina, membaik pulih dan menambah bangunan masjid baru serta keperluannya dan hasil cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ugama Islam Brunei.