1 bilion peruntukan bagi Kementerian Kewangan

1 bilion peruntukan bagi Kementerian Kewangan

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac. – Sejumlah $1,024,780,920 telah disediakan untuk peruntukkan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang mana jumlah ini berkurangan kira-kira 199 juta daripada peruntukan Tahun Kewangan 2015/2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim (gambar) dalam ucapan mukadimah anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya menjelaskan pengurangan ini mengambil kira penurunan-penurunan bagi semua kategori perbelanjaan.

“Iaitu sebanyak 2.3 peratus bagi gaji kakitangan, sejumlah 6.1 peratus bagi perbelanjaan berulang-ulang dan sebanyak 27.2 peratus bagi perbelanjaan khas,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin berkata, bagi Tahun Kewangan 2016/2017 ini, kementeriannya akan meneruskan tumpuan kepada aktiviti yang dapat mendukung dasar dan fokus belanjawan negara, iaitu memudah cara perniagaan dalam usaha untuk membina asas ekonomi yang lebih kukuh, stabil dan seimbang berlandaskan dasar ‘Pro-Business’ dan ‘Pro-Investment’; meningkatkan produktiviti negara bagi perkhidmatan-perkhidmatan di bawah kementerian-kementerian; membina kapasiti dan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi; dan memelihara Kesejahteraan awam, khususnya berkaitan dengan aspek keselamatan negara.

Selaras dengan keutamaan tersebut, ujar beliau, perancangan dan pelan tindakan kementerian akan menjurus kepada usaha dan langkah-langkah seperti meneruskan usaha-usaha dalam mengukuhkan pengurusan kewangan kerajaan bagi memastikan sumber kewangan negara diurus dan digunakan secara berperancangan, berdisiplin dan berhemat, bagi mendokong perbelanjaan keutamaan (priority spending) dan meningkatkan akauntabiliti di semua peringkat pengurusan perkhidmatan awam.

pg09_160311_a

pg01_160311_MMN-_LogoIni antara lainnya melalui pengukuhan penggunaan kaedah Programme and Performance Budgeting (PPB) termasuk meneliti kesesuaian pengemaskinian ke atas Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan agar perbelanjaan-perbelanjaan yang dilibatkan benar-benar akan dapat menghasilkan ’outcome’ yang dihasratkan dan meningkatkan pemantauan ke atas pengurusan perbelanjaan, tunggakan dan kutipan hasil kerajaan oleh agensi-agensi kerajaan.

Beliau menjelaskan, kaedah PPB ini akan menggantikan sepenuhnya kaedah ‘Input Based Budgeting’ yang diguna pakai pada masa ini, bermula Tahun Kewangan 2016/2017.

Melalui kaedah ini, perbelanjaan setiap kementerian dan jabatan kerajaan akan berpandukan kepada program atau core functions kementerian dan jabatan masing-masing bagi mencapai ‘outcome’ melalui sasaran KPI yang telah ditetapkan dan dipersetujui.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, secara ringkas, peruntukan yang disediakan bagi Kementerian Kewangan adalah gaji kakitangan secara keseluruhannya disokong sebanyak $57,222,996; perbelanjaan berulang-ulang disokong sebanyak $530,423,529; dan perbelanjaan khas disediakan sebanyak $437,134,395.

Perbelanjaan khas ini, katanya, adalah bagi melaksanakan tiga projek baru berjumlah $645,000.00 dan 36 projek pengambilan semula berjumlah $436.5 juta, termasuk 12 projek dengan Harga Rancangan sebanyak $336.5 juta.

Menurut beliau, antara projek-projek utama yang peruntukannya disediakan di bawah Kementerian Kewangan termasuklah pelaksanaan Projek Jambatan Temburong sejumlah $300 juta; Projek Rangkaian National Digital Communication System sejumlah $4 juta; dan Sistem Pelaksanaan Pertukaran Maklumat Cukai secara automatik.

Bagi Perkhidmatan Rampaian, Yang Berhormat Pehin berkata, di bawah kategori Perbelanjaan Berulang-Ulang Kementerian Kewangan, disediakan sebanyak $414.1 juta untuk kegunaan guna sama bagi semua kementerian dan jabatan kerajaan.

Contohnya, peruntukan penyewaan rumah untuk pegawai dan kakitangan kerajaan, perbelanjaan elaun cuti dan tambang; lawatan pakar dan penasihat; dan elaun pelajaran yang dipohonkan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan; Akaun Fokus Perbelanjaan disediakan, antara lainnya bagi melaksanakan Projek Penyelarasan Sistem Pengesan (Sistem Pengawalan Video Induk) Negara Brunei Darussalam dan Projek Pangkalan Data DNA Kebangsaan yang keseluruhannya berjumlah $3.2 juta.

Selain daripada itu, Projek Mendatangkan Tenaga Pakar dan Pengajar Mahir untuk Literasi (English Language) dan Numerasi (Mathematics) sejumlah $15 juta; Projek Fokus, disediakan sebanyak $10 juta, khusus bagi membiayai program atau projek yang menjurus kepada mendokong Fokus Belanjawan Negara; dan Projek Rampaian, disediakan khusus bagi menampung pembelian atau kos pelaksanaan projek-projek yang tidak dijangkakan.

ARTIKEL YANG SAMA