1 ditahan, 2 dikeluarkan pas khas

1 ditahan, 2 dikeluarkan pas khas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Jun – Cubaan seorang lelaki warga asing yang melarikan diri ke dalam hutan apabila menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa undang-undang Jabatan Imigresen, berjaya dipatahkan dalam pemeriksaan rutin di kawasan projek pengubahsuaian rumah kedai di Jalan Singa Menteri, di sini.

Setelah diperiksa, pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen mendapati bahawa lelaki berkenaan memegang pas melawat yang sudah mansuh selama 67 hari, dan dia mengaku sudah bekerja di tapak berkenaan selama empat hari dengan gaji $30 sehari.

Menurut kenyataan jabatan itu, hari ini, lelaki berkenaan kemudiannya ditahan bersama individu yang bertanggungjawab mengambilnya bekerja untuk siasatan dan tindakan lanjut di bahagian berkenaan.

Pemeriksaan rutin yang melibatkan lima pegawai dengan diketuai pegawai imigresen kanan itu turut mengeluarkan dua pas khas ke atas dua pekerja di kawasan itu bagi tujuan pengesahan pasport asal mereka.

Pemeriksaan dijalankan ke atas semua pekerja warga asing di kawasan sasaran.
Pemeriksaan dijalankan ke atas semua pekerja warga asing di kawasan sasaran.
Lelaki warga asing semasa diperiksa oleh pegawai bertugas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen.
Lelaki warga asing semasa diperiksa oleh pegawai bertugas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen.

Sehubungan itu, pemangku ketua pegawai imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait sekali lagi mengingatkan para majikan dan juga individu terutama sekali warga asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen, serta tidak sewenang-wenangnya mengambil atau menggaji pekerja asing yang bukan dijamin oleh syarikat atau individu itu sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA