1 ditahan, 3 dikeluarkan Pas Khas

1 ditahan, 3 dikeluarkan Pas Khas

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Seorang warganegara asing telah ditahan, manakala tiga lagi dikeluarkan Pas Khas dalam Operasi Cekup Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), kelmarin.

Operasi yang dijalankan oleh seramai 21 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, JIPK yang diketuai oleh Ketua Pegawai Imigresen Kanan telah menyasarkan empat buah rumah sewa dan bilik-bilik sewa di bangunan kedai berasingan di Mukim Lumapas, Mukim Sengkurong dan Mukim Kilanas.

Menurut kenyataan JIPK, semasa serbuan di salah sebuah bilik sewa di Mukim Kilanas, pegawai yang bertugas berjaya menangkap seorang lelaki warganegara asing yang berambut panjang paras dada dan mengakui pas imigresennya telahpun mansuh sejak 11 November 2012.

Lelaki terbabit yang didapati menyimpan sendiri pasportnya itu kemudian telah dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis ibu negara bagi siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan, tindakan undang-undang akan dikenakan dan seterusnya dihadapkan ke Mahkamah.

Seorang lelaki warga asing yang ditahan kerana memiliki pas imigresen yang sudah mansuh.
Seorang lelaki warga asing yang ditahan kerana memiliki pas imigresen yang sudah mansuh.

Operasi yang dijalankan selama lima jam bermula 10 malam itu adalah untuk menguatkuasakan Akta dan Peraturan Imigresen, Akta dan Peraturan Pasport dan memastikan ia dipatuhi serta dalam usaha mengesan pesalah Imigresen.

Sehubungan dengan itu, JIPK sekali lagi mengingatkan para majikan supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja masih sah dan tidak mengambil bekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau ‘amah pinjam / pemegang pas melawat’ kerana jika sabit kesalahan majikan akan berdepan denda tidak kurang $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888, yang mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA