1 juta Samsung Note 7 ditarik balik di AS

1 juta Samsung Note 7 ditarik balik di AS

SAN FRANCISCO, 16 Sept – Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS semalam mengumumkan satu penarikan balik kira-kira satu juta telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 yang dibelenggu oleh kejadian bateri terbakar.

Tindakan oleh agensi keselamatan AS itu memformalkan penarikan balik di 10 buah negara selepas laporan bateri rosak yang menyebabkan beberapa handset meletup ketika mengecas. Sementara itu Samsung mengumumkan penggantian untuk telefon rosak akan ditawarkan kepada pengguna AS pada minggu depan.

Di Amerika Syarikat, terdapat 92 laporan bateri menjadi terlalu panas, termasuk 26 laporan kebakaran dan 55 laporan kerosakan harta, termasuk kebakaran dalam kereta dan garaj, kata suruhanjaya dalam satu notis.

Gambar fail 28 Julai 2016 menunjukkan Galaxy Note 7 dipamerkan di New York, AS. - AP
Gambar fail 28 Julai 2016 menunjukkan Galaxy Note 7 dipamerkan di New York, AS. – AP

Notis AS menjejas satu juta daripada 2.5 juta handset di seluruh dunia yang ditarik balik, yang telah menyurami syarikat elektronik Korea Selatan dan penjual telefon pintar terbesar di dunia.

Samsung telah menasihat pengguna di 10 negara supaya menukarkan handset mereka dengan telefon ganti sementara sehingga ia mengeluarkan peranti terkini. Namun ramai pengguna tidak mempedulikan tawaran tersebut, memilih untuk menunggu sehingga telefon baru dikeluarkan, memetik kesulitan beralih kepada telefon bimbit untuk tempoh sementara.

Dan amalan peraturan yang berlainan di negara berlainan – serta reaksi berlainan daripada pengangkut – telah mencetuskan ketidakpastian dan kekeliruan pelanggan yang menghambat usaha Samsung untuk menyelesaikan penarikan balik secepat mungkin. – AFP