1 kes Virus Zika dilaporkan di Jambi

1 kes Virus Zika dilaporkan di Jambi

JAKARTA, 1 Feb – Sebuah institut penyelidikan di Indonesia, semalam mendedahkan ia menemui satu kes positif Zika di pulau Sumatera, sambil menambah virus itu sudah merebak dalam negara itu untuk beberapa ketika.

Kementerian Kesihatan Indonesia bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas laporan dikeluarkan Institut Biologi Molekul Eijkman itu.

Institut itu berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun di wilayah Jambi, di pulau Sumatera, yang tidak pernah ke luar negara dijangkiti virus terbabit. Ia berkata, kes itu ditemui ketika mengkaji penularan denggi di wilayah berkenaan.

Timbalan Pengarah institut berkenaan, Herawati Sudoyo, berkata daripada 103 spesimen yang diperiksa, pihaknya menemui satu kes positif Zika.

Herawati berkata, spesimen itu diambil ketika wabak denggi di Jambi di antara Disember 2014 dan April 2015.

“Tidak diketahui bagaimana dan bila lelaki itu yang tidak pernah berkunjung ke luar negara itu mendapat virus berkenaan. “Kami membuat kesimpulan, virus itu sudah merebak di Indonesia buat beberapa ketika,” katanya.

Zika disebarkan nyamuk aegypti Aedes, yang turut menyebabkan demam denggi dan virus chikungunya. Ia menyebabkan gejala seakan selesema, selain demam ringan, sakit kepala, sakit sendi dan ruam. – AFP