1 maut, 26 cedera dirempuh kereta

1 maut, 26 cedera dirempuh kereta

LAS VEGAS, 21 Dis (AFP) – Seorang pemandu wanita bersama anak damitnya di dalam kereta telah merempuh pejalan-pejalan kaki di Las Vegas Strip yang sesak semalam, membunuh seorang dan mencederakan kira-kira 26 orang lagi, menurut polis.

“Ini bukan perbuatan keganasan – kami menolak itu,” Penolong Ketua Polis Brett Zimmerman memberitahu para pemberita.

Tetapi ‘kami sedang menelitinya kemungkinan ia tindakan sengaja’.

Las Vegas Strip – terkenal dengan lampu-lampunya yang terang – menarik perhatian ramai pelancong dari seluruh dunia dan dibarisi dengan kasino dan hotel-hotel yang banyak.

Kejadian itu berlaku pada malam yang sama Las Vegas menjadi tuan rumah pertandingan ratu cantik Miss Universe, dengan menyaksikan Miss Filipina dimahkotakan sebagai ratu cantik.

Polis Las Vegas sedang menyiasat tempat nahas akibat rempuhan di hadapan Hotel Planet Hollywood, berhampiran hotel dan kasino tempat pertandingan Miss Universe diadakan di Las Vegas. – Reuters
Polis Las Vegas sedang menyiasat tempat nahas akibat rempuhan di hadapan Hotel Planet Hollywood, berhampiran hotel dan kasino tempat pertandingan Miss Universe diadakan di Las Vegas. – Reuters

Saksi, Rabia Qureshi, seorang pelancong dari Wisconsin, memberitahu KSNV, stesen tempatan NBC bahawa kenderaan itu nampak seperti ‘bola boling dan mayat manusia seperti pin boling.”

Enam orang yang tercedera dalam keadaan kritikal, menurut Zimmerman. Sebelumnya polis meletakkan bilangan yang tercedera seramai 37 orang.

Wanita itu sedang menjalani beberapa ujian, termasuklah ujian alkohol. Polis yang menggesa lebih ramai saksi untuk tampil – hanya menyatakan wanita itu bukan dari Las Vegas tetapi telah berada di sana kira-kira seminggu.

Anak damit yang berada dalam kereta itu tidak mengalami kecederaan, menurut mereka.

Saluran media tempatan 8 News NOW melaporkan kemalangan itu berlaku sejurus selepas 6:30 petang antara Planet Hollywood, tempat berlangsungnya Pertandingan Ratu Cantik Miss Universe dan Hotel Paris Las Vegas.

Dengan merujuk seorang saksi, menurutnya sebilangan lelaki cuba menahan kereta itu. Tersangka itu pada awalnya hendak meninggalkan tempat kejadian, polis mengesahkan.

Sebuah lagi saluran keluar media tempatan, KTNV, melaporkan University Medical Center, salah sebuah dari tiga hospital tempat mereka yang tercedera dirawat, mengatakan kebanyakan pesakit adalah dari Montreal di Kanada.

Kereta dilencongkan berhampiran hotel Paris Las Vegas, tempat Strip telah ditutup ketika orang yang memberi respons bergegas ke tempat kejadian dalam keadaan kelam kabut, menurut CNN.

Tayangan secara langsung menunjukkan Strip yang lazimnya sibuk ditutup kepada lalu lintas ketika polis memeriksa tempat kejadian.