1 maut, 30 cedera dibadai puting beliung

1 maut, 30 cedera dibadai puting beliung

BERLIN, 6 Mei (AFP) – Seorang lelaki maut dan lebih 30 lagi cedera apabila puting beliung dan ribut kencang melanda utara Jerman, menerbangkan bumbung, menumbangkan pokok dan menterbalikkan kenderaan, menurut perkhidmatan kecemasan hari ini.

Bandar Buetzow berhampiran pelabuhan utara Rostock adalah bandar yang paling teruk dibadai, di mana bongkah batu bertaburan di jalan-jalan selepas serpihan yang diterbangkan angin telah mengorbankan seorang dan mencederakan berpuluh yang lain lewat semalam.

Menurut saksi, ‘puting beliung’ itu telah membadai di seluruh bandar yang memiliki lebih 7,800 orang, yang mana hospital tempatan juga telah musnah dan dewan sukan telah digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi orang ramai yang diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka.

Seorang lelaki berusia 26 tahun telah terkorban di bandar pelabuhan utara Hamburg apabila sebahagian bumbung rumah jatuh menghempap ke atas keretanya di kawasan pusat bandar pelabuhan, juga mencederakan pasangannya yang mengandung yang duduk di sebelahnya.

Pokok-pokok tumbang ke jalan dan ke landasan kereta api di negeri North Rhine-Westphalia dan Mecklenburg-Western Pomerania dan menggendalakan pengangkutan awam di Hamburg, tempat lima kapal kontena yang juga terpisah daripada tambatannya.