10 ahli PPNBD akan sertai jambori di Indonesia

10 ahli PPNBD akan sertai jambori di Indonesia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Rombongan seramai 10 orang yang terdiri daripada empat orang pemimpin pengakap dan enam orang ahli Pengakap Muda dan Pengakap Remaja Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) akan menyertai Jambori Nasional Gerakan Pramuka Indonesia kali ke-10 sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-71 dan Hari Gerakan Pramuka Indonesia ke-55 yang akan bermula pada 14 hingga 21 Ogos nanti.

Jambori yang bakal diadakan di Bumi Perkhemahan Cibubur itu akan dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo pada 14 Ogos nanti.

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kepada rombongan berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, kelmarin.

Penyerahan bendera kebangsaan itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Ali kepada Ketua Kontinjen, Haji Saifulrijal bin Haji Md Hussin.

Turut hadir ialah ketua pesuruhjaya PPNBD, Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pegawai pengakap serta peserta jambori.

Haji Awang Badar bersama peserta Jambori Gerakan Pramuka Indonesia ke-10.
Haji Awang Badar bersama peserta Jambori Gerakan Pramuka Indonesia ke-10.

Jambori selama lapan hari itu menyediakan pelbagai kegiatan yang bercorak kemahiran dan cabaran yang dirancang untuk mencabar daya tahan fizikal dan mental peserta yang menyertainya.

Antara aktiviti yang akan disertai oleh para peserta termasuk kegiatan cabaran pengembaraan di darat dan di air, kemahiran ikhtiar hidup, kraf, kesenian, perkampungan pembangunan global, pertukaran kebudayaan, mengeratkan hubungan sosial dan persahabatan, lawatan pendidikan serta pemerhatian alam sekitar.

Jambori itu dijangka akan disertai oleh lebih 25,000 orang peserta dari sembilan buah negara luar iaitu Negara Brunei Darussalam, Bangladesh, Filipina, Timor Leste, Malaysia, Singapura, Thailand, Nepal dan Belanda di samping negara tuan rumah Indonesia.

Bagi menyertai jambori itu, peserta kontinjen PPNBD telah giat mengadakan latihan tarian tradisional bagi memantapkan persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan semasa jambori itu nanti.