10 belia ikuti kursus kemahiran

10 belia ikuti kursus kemahiran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Pusat Pembangunan Belia (PPB) terus melaksanakan pelbagai program latihan untuk memberikan kemahiran dan kelayakan kepada golongan belia khususnya supaya anak tempatan yang tidak mempunyai pendidikan formal diberikan peluang pekerjaan dalam industri yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Dalam hubungan itu, seramai 10 orang belia dipilih untuk mengikuti Kursus Penyambung Kabel Elektrik Kali Pertama dan para belia yang berjaya telah menandatangani Kontrak Perjanjian bersama Syarikat Amherst Envirotech sebagai konsultan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Surambi, PPB, hari ini.

Bermula pada 5 Oktober, ini para belia berkenaan akan mengikuti kursus latihan selama lima bulan iaitu dua bulan bagi latihan ‘In-House’ secara intensif di PPB dan tiga bulan lagi bagi latihan industri bersama rakan strategik (stakeholders) atau mana-mana pihak yang difikirkan boleh menjamin pekerjaan.

Di majlis berkenaan, Syarikat Amherst Envirotech yang diwakili oleh Pegawai Eksekutifnya, Awang Mohd Aizuddin bin Haji Metusin menandatangani kontrak dengan bakal pelatih-pelatih kursus sambil disaksikan oleh Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Penandatanganan kontrak di antara Syarikat Amherst Envirotech yang diwakili oleh Awang Mohd Aizuddin dengan para pelatih dan disaksikan oleh Awang Haswandi.
Penandatanganan kontrak di antara Syarikat Amherst Envirotech yang diwakili oleh Awang Mohd Aizuddin dengan para pelatih dan disaksikan oleh Awang Haswandi.

Kursus Penyambung Kabel Elektrik dilaksanakan dengan matlamat untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran mengenai pemasangan kabel elektrik voltan rendah dan voltan tinggi, keselamatan kerja, pemilihan kabel, penyambungan, pemeriksaan dan prosedur yang berkaitan dengan pemasangan dan seterusnya penyelenggaraan kabel.

Ia diharap dapat menanamkan sikap positif terhadap penjagaan, keselamatan kerja dan etika penggunaan sistem gentian optik supaya belia dapat menggunakan kemahiran dengan penuh tanggungjawab.

Peserta yang terpilih untuk menyertai kursus itu harus melalui beberapa sesi pemilihan yang dilaksanakan oleh PPB dan Syarikat Amherst Envirotech bagi memastikan belia-belia terpilih benar-benar berminat untuk mengikuti kursus berkenaan.

Antara sesi pemilihan yang dilaksanakan termasuk sesi temu duga, pemeriksaan kesihatan dan Kem Jati Diri yang diadakan selama empat hari di Outward Bound Brunei Darussalam, Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA