10 chalet baru dibuka

10 chalet baru dibuka

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Sepuluh buah chalet dua tingkat dengan pemandangan mendamaikan dan menenangkan di kawasan Kampung Sungai Belukut yang merupakan sebahagian daripada Mangrove Paradise Resort Villa Fasa II, mula dibukakan kepada pengunjung dengan majlis pelancarannya hari ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri serta Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Yang Berhormat Pehin dalam temu bual selepas membuat lawatan ke kawasan vila baru itu menyatakan vila tersebut memang sesuai dengan alam semula jadi di kawasan berkenaan yang dipelihara dengan baik.

Ditanya jenis aktiviti yang boleh dibuat di kawasan tersebut, Yang Berhormat Pehin berkata banyak aktiviti alam semula jadi boleh dibuat dan kawasan perairan depan vila juga boleh diadakan aktiviti sukan air.

pg01_150903_b

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya melihat lebih dekat kolam jakuzi yang turut disediakan di beranda luar di salah sebuah chalet tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya melihat lebih dekat kolam jakuzi yang turut disediakan di beranda luar di salah sebuah chalet tersebut.

“Dengan jumlah chalet yang terhad ini tidak akan mengganggu pemeliharaan alam semula jadi di kawasannya dan jumlah keramaian penginap nanti masih dapat dikawal,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Mangrove Paradise Resort, Dayang Adina binti Haji Mahadi pula menjelaskan, sejak tempat peranginan itu dibuka pada 1 Oktober 2009 dengan menyediakan 15 buah chalet, restoran, surau dan kolam renang, ia telah banyak menarik warga tempatan dan luar negara.

“Dengan 10 buah chalet di fasa kedua yang terletak bersebelahan ini pula akan dapat menarik perhatian warga tempatan bercuti di negara sendiri sambil meluangkan masa bersama keluarga memandangkan tempat penginapan ini berkonsepkan seperti sebuah rumah,” jelasnya.

Katanya lagi, Mangrove Paradise Resort Fasa II itu merangkumi 10 buah chalet dua tingkat, jeti, surau dan sebuah dewan serba guna yang boleh memuatkan 1,500 orang.

Deretan 10 buah chalet baru Mangrove Paradise Resort Fasa II yang mula beroperasi kelmarin.
Deretan 10 buah chalet baru Mangrove Paradise Resort Fasa II yang mula beroperasi kelmarin.

“Ketika ini, surau dan dewan serba guna hampir siap, namun chalet sudah pun beroperasi dan dibukakan kepada orang ramai serta pelancong,” jelasnya, sambil menambah, surau dan dewan serba guna bersambung adalah bagi kemudahan majlis perkahwinan dengan upacara nikahnya boleh berlangsung di surau tersebut.

Setiap chalet mempunyai tiga buah bilik tidur berserta tandas, ruang tamu, dapur kering (pantry) dan ruang makan serta sebuah kolam jakuzi. Dua buah bilik tidur terdapat di tingkat atas dan sebuah lagi di tingkat bawah, tambah beliau.

Pembinaan Fasa II itu bermula pada bulan Jun 2013 dengan menelan belanja $5 juta yang dibiayai di bawah Skim Kemudahan Perusahaan, KPSSU.

Harga promosi bagi setiap chalet ialah $250 semalam pada hari biasa dan $300 semalam pada hujung minggu.

Mangrove Paradise Resort adalah tempat peranginan pertama yang diusahakan sepenuhnya oleh pengusaha tempatan iaitu Haji Mahadi bin Haji Talib.

ARTIKEL YANG SAMA