10 finalis bakal beraksi

10 finalis bakal beraksi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Seramai 10 orang finalis bakal mendendangkan lagu-lagu Brunei asli semasa Peringkat Akhir Pertandingan Canang Citra Budaya ke-9 yang akan berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan pada 29 Oktober nanti.

Mereka ialah Haji Zul Azmi bin Haji Mohin, Awang Mohd Khairul Nazri bin Haji Johari, Dayangku Amal Fitri Radhiyah binti Pengiran Ahmad, Awang Jamain bin Haji Tarip, Dayang Nurazizah binti Haji Muhaidin, Haji Muhd Ubaidah bin Haji Awang Damit, Dayang Kamisahnor binti Hashim, Ad Mustafa bin A. Dahli, Dayangku Amallizawati binti Pengiran Ahmad dan Pengiran Mohd Fauzie bin Pengiran Zainal Abidin.

Senarai finalis itu dikumumkan oleh Ketua Hakim pertandingan, Awang Mohd Abu Sofian bin Haji Mohd Ali Nordin pada satu sidang media di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertandingan Canang Citra Budaya 2016, Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit.

Di majlis itu juga, para finalis pertandingan turut membuat cabutan bagi lagu-lagu yang bakal mereka nyanyikan semasa peringkat akhir pertandingan itu.

Finalis lelaki membuat cabutan undi bagi lagu yang akan dibawanya semasa peringkat akhir pertandingan itu.
Finalis lelaki membuat cabutan undi bagi lagu yang akan dibawanya semasa peringkat akhir pertandingan itu.
Awang Mohd Abu Sofian mengumumkan 10 finalis bagi Pertandingan Canang Citra Budaya 2016.
Awang Mohd Abu Sofian mengumumkan 10 finalis bagi Pertandingan Canang Citra Budaya 2016.

Pada peringkat awal pertandingan berkenaan, seramai 19 orang peserta iaitu lapan orang peserta lelaki dan 11 orang peserta wanita, beraksi untuk memilih 10 orang peserta yang akan bertanding di peringkat akhir pertandingan itu.

Penghakiman dibuat berdasarkan empat sudut penghakiman iaitu suara sebanyak 30 peratus, melodi sebanyak 30 peratus, tempo sebanyak 20 peratus dan keterampilan sebanyak 20 peratus.

Pertandingan anjuran KKBS dengan kerjasama RTB itu, bermatlamat untuk mempertingkatkan minat dan populariti lagu-lagu Brunei asli dalam kalangan masyarakat belia dan dewasa, memperluaskan pendedahan lagu-lagu Brunei asli untuk dihayati oleh orang ramai terutamanya golongan belia, memelihara lagu-lagu Brunei asli serta mempertingkatkan rasa kecintaan terhadap seni budaya Brunei khasnya lagu-lagu Brunei asli.

Pertandingan itu dibukakan penyertaannya kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun di mana Johan bagi pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai $1,500 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.

Pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang hadiah wang tunai $1,200 berserta piala iringan dan sijil penghargaan, tempat ketiga bakal membawa pulang hadiah wang tunai $800 berserta piala iringan dan sijil penghargaan, manakala itu, tujuh orang pemenang sagu hati pula membawa pulang hadiah wang tunai $250 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.

Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS juga akan mengadakan bengkel secara intensif bagi finalis-finalis yang terpilih di mana ia akan memberikan pendedahan kepada para peserta untuk mempelajari dan lebih memahami mengenai seni vokal serta muzik asli supaya mereka mampu untuk membuat persembahan yang terbaik semasa peringkat akhir pertandingan itu nanti.