10 jurulatih tamat kursus Sijil ‘B’ AFC

10 jurulatih tamat kursus Sijil ‘B’ AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Seramai 10 orang jurulatih terpilih yang memegang Sijil ‘C’ AFC termasuk seorang dari Singapura telah berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Sijil ‘B’ AFC hari ini selepas mengikutinya bermula pada 25 April 2016 yang lalu.

Pada majlis penutupan rasmi kursus di NFABD House hari ini, mereka telah menerima sijil kehadiran masing-masing yang telah disempurnakan penyampaiannya oleh EXCO NFABD, Ah Chua bin Bangau.

Ah Chua dalam ucapan penutupnya antara lain menegaskan betapa seorang jurulatih bukan saja perlu memiliki pengetahuan mengenai kejurulatihan bola sepak tetapi harus juga memiliki integriti, kredibiliti dan mental yang kuat.

“Ia adalah supaya mereka menjadi contoh yang baik kepada para pemain, baik semasa latihan, di dalam ataupun di luar padang, apatah lagi semasa dalam satu-satu perlawanan yang melibatkan pasukan mereka,” jelasnya.

Ah Chua (duduk 3 dari kiri) bersama para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil B AFC yang menamatkan kursus berkenaan hari ini.
Ah Chua (duduk 3 dari kiri) bersama para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil B AFC yang menamatkan kursus berkenaan hari ini.

“Tidak dinafikan sering berlaku keadaan yang tegang di dalam satu-satu perlawanan, apa yang diperlukan adalah seorang jurulatih yang dapat mengawal pemain mereka supaya perkara yang tidak diingini berlaku sehingga menjejaskan perlawanan dan apatah lagi merugikan pasukan apabila diambil tindakan oleh pihak penganjur,” tambahnya.

Beliau turut menyeru pada jurulatih dan pengurus pasukan supaya memberikan penerangan jelas mengenai peraturan perlawanan, ‘Law of The Game’ kepada semua pemain. Menurutnya dengan adanya kefahaman berkenaan maka pemain dan pegawai pasukan akan mengetahui dengan lebih jelas kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan semasa dalam perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA