10 kanak-kanak sekolah maut dalam serangan

10 kanak-kanak sekolah maut dalam serangan

SANAA, 14 Ogos – Serangan udara pimpinan Saudi ke atas sebuah sekolah di wilayah pemberontak di utara Yaman telah membunuh 10 kanak-kanak dan mencederakan 28 yang lain, kata Doktor Tanpa Sempadan (MSF) hari ini.

“Kami menerima 10 kanak-kanak yang terbunuh dan 28 orang yang cedera, kesemuanya di bawah umur 15 tahun, yang merupakan mangsa serangan udara di sekolah agama di Haydan,” di wilayah Sanaa, kata jurucakap MSF Malak Shaher, menambah serangan berlaku semalam.

Shaher memberitahu AFP, MSF telah menerima kanak-kanak di sebuah hospital berhampiran sekolah sebelum mereka dipindahkan ke sebuah hospital awam. Pemberontak Huthi menyiarkan gambar dan video kanak-kanak yang terbunuh dan yang dibalut dalam selimut di Facebook.

Jurucakap Huthi Mohammed Abdulsalam berkata kapal terbang perang ‘menyasarkan’ kanak-kanak di sekolah Jomaa bin Fadhel, dalam apa yang digambarkan oleh beliau sebagai satu ‘jenayah sangat kejam’.

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber-satu, UNICEF, mengesahkan serangan dan mengingatkan ‘dengan peningkatan keganasan di seluruh negara sejak seminggu lalu, jumlah kanak-kanak yang terbunuh dan cedera akibat serangan udara, pertempuran jalan dan periuk api telah meningkat mendadak’.

“UNICEF menggesa semua pihak dalam konflik di Yaman supaya menghormati dan mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

“Ia termasuk tanggungjawab yang hanya menyasarkan penggempur dan mengehadkan kecederaan kepada orang awam dan infrastruktur awam.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA