10 kelasi Indonesia diculik di Filipina

10 kelasi Indonesia diculik di Filipina

JAKARTA, 29 Mac (AFP) – Sepuluh kelasi Indonesia telah diculik di perairan Filipina oleh militan pelampau yang menuntut wang tebusan bagi pembebasan mereka, kata pegawai hari ini.

Krew berkenaan sedang dalam perjalanan menggunakan dua bot yang menghantar arang batu dari pulau Borneo ke Filipina apabila mereka diculik, kata jurucakap kementerian luar Indonesia, Arrmanatha Nasir.

Masih tidak jelas bila kapal itu iaitu sebuah kapal tunda dan baj itu telah dirampas tetapi pemilik bot menerima satu panggilan tebusan daripada seseorang yang mendakwa dari kumpulan militan Abu Sayyaf pada Sabtu lalu, kata Nasir.

Abu Sayyaf adalah kumpulan pelampau yang terkenal di Filipina dengan kegiatan pengeboman dan penculikan, yang telah menjanjikan kesetiaan kepada kumpulan Islamic State (IS).

“Perampas menuntut wang tebusan daripada pemilik kapal. Sejak 26 Mac, perampas telah menghubungi pemilik sebanyak dua kali,” beritahu Nasir kepada wartawan, tanpa mengulas jumlah yang telah dituntut bagi pembebasan krew tersebut.

Masih tidak jelas di mana kapal baj Anand 12 berada dan krew yang sedang ditahan oleh penculik tetapi kapal tunda Brahma 12 telah dilepaskan kepada pihak berkuasa Filipina, tambah beliau.

Kementerian luar Indonesia sedang bekerjasama dengan kementerian luar Filipina dalam kes tersebut, kata nasir.

“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah keselamatan 10 warga yang dijadikan tebusan,” kata beliau, menambah keluarga mereka telahpun diberitahu.

Tidak adanya pengesahan daripada pihak berkuasa di Filipina. Namun ketua tentera Filipina, Jeneral Hernando Iriberri, berlepas ke pangkalan tentera utama di selatan negara untuk memeriksa keadaan dan membincang langkah-langkah yang harus diambil, beritahu jurucakap Brigadier Jeneral Restituto Padilla kepada AFP.

Kerajaan Filipina berkali-kali berkata ia “tidak mempunyai dasar wang tebusan.” Namun parti yang dikaitkan dengan warga asing sebagai tebusan oleh Abu Sayyaf selalu meminta bayaran untuk mendapatkan pembebasan.

ARTIKEL YANG SAMA