10 keluarga terima sumbangan PSW

10 keluarga terima sumbangan PSW

TEMBURONG, 14 Okt – Seramai 10 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin dan ibu tunggal hari ini telah menerima sumbangan daripada Persatuan Siswazah Wanita (PSW) Negara Brunei Darussalam. Sumbangan disampaikan oleh Yang Di-Pertua PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin, dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar di sini.

Hadir bagi menyaksikan penyampaian derma tersebut ialah Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah.

PSW merupakan sebuah badan bukan kerajaan, ditubuhkan pada 5 Februari 1990 dan mempunyai kira-kira 100 orang ahli terdiri daripada kalangan ahli-ahli profesional.

PSW juga merupakan salah sebuah persatuan yang begitu prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan di negara ini serta sering kali mengendalikan program dan kegiatan kemasyarakatan, akademik dan profesional.

Persatuan Siswazah Wanita Brunei Darussalam ditubuhkan dengan tujuan menyatukan para siswazah di negara ini dan memelihara pertalian profesional dalam kalangan mereka dan mewujudkan forum bagi perbincangan perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita dalam perkembangan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyusun dan mengendalikan kegiatan-kegiatan bagi meningkatkan penglibatan para siswazah wanita khususnya dan kaum wanita amnya dalam pembangunan negara. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Pengiran Hajah Zabaidah menyampaikan derma sambil disaksikan oleh Haji Abdul Hamid.
Pengiran Hajah Zabaidah menyampaikan derma sambil disaksikan oleh Haji Abdul Hamid.

ARTIKEL YANG SAMA