10 kesalahan dikesan semasa operasi

10 kesalahan dikesan semasa operasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Pasukan Polis Diraja Brunei, malam tadi, telah menjalankan operasi sekatan jalan raya di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait dengan 10 kesalahan telah didapati keseluruhannya.

Di Daerah Tutong, anggota Daerah Polis Tutong yang diketuai Pegawai Trafik Daerah, ASP Dayangku Norazriani telah menjalankan operasi di Kampung Layong, KM 5 Layong/Lamunin.

Dalam operasi ini, sembilan kesalahan dicatatkan termasuk satu kes doket melibatkan memandu ketika mabuk dan lapan kesalahan kompaun.

Anggota polis ketika menjalankan pemeriksaan semasa operasi tersebut.
Anggota polis ketika menjalankan pemeriksaan semasa operasi tersebut.

Sementara itu di Dearah Belait, tiada kesalahan ditemui semasa operasi yang dilakukan di Jalan Rasau yang melibatkan enam anggota Balai Polis Kuala Belait. Manakala semasa operasi yang dijalankan di hadapan Balai Polis Labi yang melibatkan lima anggota Balai Polis Labi pula tidak menemui sebarang kesalahan. Walau bagaimanapun, satu kesalahan kompaun telah dilaporkan semasa operasi yang dijalankan di Lebuhraya Lumut Bypass yang melibatkan 11 anggota Balai Polis Sungai Liang dan empat anggota Polis Keselamatan Padang Minyak LNG (OPSO).

Daerah Polis Brunei dan Muara pula telah menjalankan sekatan di tiga lokasi iaitu Jalan Kampung Salar, Jalan Raya Balai Polis Limau Manis dan kawasan Jalan Kampung Bebuloh depan Pos Polis Kampung Bebuloh. Tiada kesalahan dicatatkan di daerah ini tetapi pihak polis telah menjalankan empat henti dan cari serta mengeluarkan 190 peringatan.

ARTIKEL YANG SAMA