10 malam terakhir Ramadan diisi dengan majlis keagamaan

10 malam terakhir Ramadan diisi dengan majlis keagamaan

Oleh Normazlina M.D & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Malam-malam 10 terakhir Ramadan terus disemarakkan dengan majlis-majlis keagamaan seperti Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Antara yang menganjurkan majlis seumpamanya, hari ini, adalah Pusat Khidmat Komuniti Annur Harapan dan dikelolakan oleh Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan Penjara dengan kerjasama Masjid Kampung Lambak.

Majlis yang berlangsung di Masjid Kampong Lambak, Berakas, itu disertai oleh pegawai-pegawai Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, rakan-rakan seliaan dan ahli takmir Masjid Kampung Lambak serta kakitangan Pusat Annur Harapan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar yang juga menyampaikan sijil-sijil dan sumbangan kepada rakan-rakan seliaan yang ikut serta dalam majlis tersebut. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian wakaf kepada pihak masjid yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pusat Annur Harapan, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit.

Majlis Khatam Al-Quran bagi Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan bersama Rakan Seliaan yang berlangsung di Masjid Kampung Lambak, kelmarin.
Majlis Khatam Al-Quran bagi Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan bersama Rakan Seliaan yang berlangsung di Masjid Kampung Lambak, kelmarin.
Antara yang hadir di Masjid Kampung Lambak Berakas, kelmarin.
Antara yang hadir di Masjid Kampung Lambak Berakas, kelmarin.

Di samping menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadat dan kebajikan, majlis tahunan ini juga sebagai wadah dalam mengukuhkan jalinan kerjasama serta silaturahim dalam kalangan pihak yang berkepentingan.

Manakala itu, Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU) pula, semalam, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di kediaman Yang Di-Pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah di Kampung Kupang, sebagai penutup Majlis Bertadarus sepanjang bulan Ramadan.

Majlis telah melibatkan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli yang berdaftar dengan PENJURU, yang telah membaca juzuk-juzuk pilihan semasa bertadarus secara sendirian.

Bagi memberkati lagi bulan Ramadan ini, majlis turut menyaksikan penyampaian derma dan cenderahati kepada 19 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak jururawat dan bidan dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Tutong, dan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Majlis anjuran PENJURU ini merupakan usaha transformasi dakwah pihak penganjur dalam mendorong setiap ahlinya berjaya Khatam Al-Quran dan diharap akan menjadi amalan harian mereka dalam membaca Al-Quran.

Semasa Majlis Khatam Al-Quran PENJURU yang diadakan di rumah kediaman Yang Di-Pertua PENJURU, kelmarin.
Semasa Majlis Khatam Al-Quran PENJURU yang diadakan di rumah kediaman Yang Di-Pertua PENJURU, kelmarin.
Semasa Majlis Khatam Al-Quran BASKIM yang diadakan di rumah kediaman Penghulu Mukim Kiudang.
Semasa Majlis Khatam Al-Quran BASKIM yang diadakan di rumah kediaman Penghulu Mukim Kiudang.

Turut menutup majlis bertadarus semalam ialah Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru (BASKIM) Kampung Kiudang dengan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di kediaman Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah selaku Pengerusi BASKIM.

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Tutong itu disertai kira-kira 150 orang peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya bersama Isteri.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan Penasihat BASKIM, Haji Umarali bin Esong. Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta tadarus rumah ke rumah di bulan Ramadan bagi tahun ini.

Aktiviti Bertadarus Rumah ke Rumah mula diadakan sejak Penubuhan BASKIM pada tahun 2005 dan ia merupakan aktiviti tahunan serta tradisi bagi menyatupadukan dan mengeratkan ukhuwah di antara warga BASKIM dan masyarakat Islam. Enam buah rumah telah pun terpilih untuk menjalankan aktiviti bertadarus bagi bulan Ramadan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei turut meraikan ahli-ahli yang telah berjaya menamatkan bacaan Al-Quran dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang berlangsung di Ibu Pejabat PUJA, Anggerek Desa.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid yang juga merupakan ahli pertubuhan berkenaan. Turut hadir ialah Presiden PUJA Brunei, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Majlis juga telah diselajurkan dengan berbuka puasa beramai-ramai dan solat fardu Maghrib berjemaah.

Antara yang hadir pada Majlis Khatam Al-Quran PUJA Brunei.
Antara yang hadir pada Majlis Khatam Al-Quran PUJA Brunei.
Majlis Khatam Al-Quran Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi F baru-baru ini.
Majlis Khatam Al-Quran Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi F baru-baru ini.

Baru-baru ini pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi F telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Bertahlil dan Doa Arwah bagi cawangan tersebut sempena Bulan Ramadan 1437H yang dihadiri oleh para pegawai dan anggota cawangan Operasi F.

Majlis diadakan di Balai Bomba Jerudong II dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Pemerintah cawangan Operasi F, Penguasa Kanan Haji Janaidi bin Haji Gunong.

ARTIKEL YANG SAMA