10 negara ASEAN sertai Festival AFC B-14

10 negara ASEAN sertai Festival AFC B-14

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC 2016 pada 26 hingga 30 Julai ini di Bandar Seri Begawan akan mengumpulkan seramai 180 pemain muda berbakat dan 40 pegawai pasukan dari 10 negara anggota AFC serta lebih 150 ahli jawatankuasa dan sukarelawan.

Festival yang buat kali kedua diamanahkan oleh AFC kepada NFABD untuk mengendalikannya itu memfokuskan kepada elemen tertinggi dalam sukan di peringkat akar umbi, terutama sekali perkembangan kemahiran-kemahiran tinggi (permainan adil) berbanding penekanan kepada pertandingan atau kemenangan.

“Oleh kerana itulah ia dipanggil festival,” jelas Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badaruddin dalam Sidang Media Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 di Bilik Mesyuarat 1, Hotel Orchid Garden lewat petang tadi.

Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan semua golongan masyarakat di negara ini sama-sama hadir bagi menyaksikan aksi hebat pemain-pemain muda tempatan dan luar negara, sambil memberitahu kemasukan ke tempat-tempat perlawanan adalah percuma.

Beliau mendedahkan bahawa sebanyak 10 buah negara dari rantau ASEAN akan menyertai festival itu iaitu tuan rumah, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

(Dari kiri) Awang Dayem, Haji Madli, Pengiran Haji Mohiddin dan Pengiran Mohd Amirrizal semasa Sidang Media Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 berkenaan.
(Dari kiri) Awang Dayem, Haji Madli, Pengiran Haji Mohiddin dan Pengiran Mohd Amirrizal semasa Sidang Media Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 berkenaan.

Bersempena dengan festival kali ini, AFC turut memperkenalkan kempen Tanggungjawab Korporatnya yang meliputi empat acara yang telah bermula dengan Kempen Kesedaran untuk Masyarakat Tempatan di dua gedung membeli belah utama Negara ini petang tadi iaitu The Mall, Gadong dan Times Square, Berakas yang melibatkan seramai 30 pemain B-14 Brunei Darussalam, mengagih-agihkan risalah kesihatan kepada orang ramai, ujarnya.

Acara kedua ialah seminar sehari bertemakan ‘Holistic Development Through Social Responsibility’ (Kemajuan Holistik Menerusi Tanggungjawab Sosial) pada Sabtu, 23 Julai di NFABD House.

Acara ketiga pula ialah program bersama masyarakat ‘Sentuhan Kasih’ dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri NFABD pada petang Ahad, 24 Julai di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Manakala acara keempat merupakan kempen kesedaran untuk semua pemain yang menyertai festival berkenaan di hotel penginapan masing-masing dan tempat perlawanan mereka.

Pengiran Haji Mohiddin kemudiannya memberitahu bahawa majlis pembukaan rasmi festival dijadualkan berlangsung bermula pukul 4:15 petang Selasa, 26 Julai di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), yang akan menyaksikan pasukan tuan rumah turun menetang Myanmar.

Beliau seterusnya mendedahkan bahawa festival itu akan dijalankan di dua tempat berbeza iaitu Kompleks Sukan Berakas dan Padang & Balapan, KSNHB. Menurutnya, orang ramai boleh melayari laman sesawang NFABD di www.nfabd.org untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlawanan-perlawanan di sepanjang festival.

Hadir sama semasa sidang media berkenaan ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof, Penolong Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali.

ARTIKEL YANG SAMA