10 nelayan asing salah guna lesen pekerja

10 nelayan asing salah guna lesen pekerja

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Seramai 10 warga asing telah didapati melakukan kesalahan penempatan dan jawatan yang tidak selaras dengan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing dalam Operasi Rempuh di Pasar Ikan Kampung Jerudong, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, seramai 13 orang pegawai dari bahagian itu yang diketuai oleh pemangku pesuruhjaya buruh telah menjalankan pemeriksaan bermula dari pukul 10 pagi telah mendapati kesemua lelaki berkenaan yang berjawatan nelayan telah melakukan pekerjaan menjual ikan.

Bagi kesalahan penempatan dan jawatan pekerja asing berkenaan akan diambil tindakan pembatalan/pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Pegawai yang bertugas ketika memeriksa warga asing yang didapati menyalahgunakan lesen pekerja.
Pegawai yang bertugas ketika memeriksa warga asing yang didapati menyalahgunakan lesen pekerja.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan yang mana kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009, jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000.00 dan tidak lebih $10,000.00 atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing.

ARTIKEL YANG SAMA