10 pasukan meneruskan kelayakan

10 pasukan meneruskan kelayakan

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Sepuluh buah pasukan daripada lima kumpulan iaitu A, B, C, D dan E telah mengesahkan kelayakan masing-masing ke pusingan kedua Kejohanan Futsal Hyundai EURO 2016.

Pasukan-pasukan itu ialah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD), Syahkampong Muda, GG FT, Sham United, Red Butterfly, Brunei 88, Eagle Blues, Politeknik, Jelous FT dan Planduk FT.

Empat buah pasukan daripada setiap kumpulan bersaing sengit bagi merebut dua tempat teratas kumpulan masing-masing bagi memastikan pasukan mereka mara ke pusingan kalah mati.

Di antara lima kumpulan berkenaan, persaingan Kumpulan A menonjol dengan dua pasukan teratasnya iaitu MSSSBD dan Syahkampong Muda sama-sama mengutip 7 mata, 5 jaringan dan 0 bolos sehingga memaksa penganjur melakukan undian bagi menentukan siapa juara dan naib juara kumpulan.

Aksi Kumpulan A ketika Syahkampong Muda (kuning ungu) menang 3-0 ke atas Armada FT.
Aksi Kumpulan A ketika Syahkampong Muda (kuning ungu) menang 3-0 ke atas Armada FT.

Kedua-dua pasukan berkenaan terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama kedua-duanya dan kemudiannya Syahkampong Muda menghuni persada Kumpulan A dengan kemenangan meyakinkan, 3-0 ke atas Armada FT dalam perlawanan keduanya tatkala MSSSBD sekadar menang tipis 1-0 ke atas Madrasah selepas itu.

Namun MSSSBD kemudiannya mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Armada FT di perlawanan terakhirnya sebelum Syahkampong Muda beraksi untuk mencetak kelebihan dua jaringan ke atas pesaingnya itu.

Syahkampong Muda perlu sekurang-kurangnya menang 3-0 untuk memastikan juara Kumpulan A menjadi miliknya tetapi sekadar menang 2-0 ke atas Madrasah yang menyebabkan kedua-dua pasukan terikat 7 mata, 5 jaringan dan 0 bolos.

Juara dan naib juara kumpulan perlu ditentukan bagi memastikan laluan masing-masing di pusingan kedua dan selepas undian dilakukan, MSSSBD mendapat kertas yang tertera Nombor 1 sekali gus menghadiahkannya gelaran juara Kumpulan A.

Kejohanan di Dewan Hangar, Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Airport Lama, Berakas itu akan diteruskan dengan lima kumpulan lagi: F, G, H, I dan J pada 29 Mei ini bermula pukul 8:30 pagi hingga 4 petang.

Pusingan kedua kejohanan akan dijalankan pada 1 Jun, sementara peringkat suku akhir, separuh akhir dan final dijadualkan berlangsung pada 4 Jun, kedua-duanya di tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA