10 pasukan mula berentap

10 pasukan mula berentap

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 15 April – Sebanyak 10 buah pasukan mewakili beberapa buah sekolah di seluruh negara hari ini mula berentap dalam Pertandingan Pertunjukan Sains 2016 anjuran Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) bagi pusingan pertama.

Antara sekolah yang menyertainya ialah Sekolah St George, Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah St Andrews, Sekolah St John, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan yang sebahagiannya menghantar lebih daripada satu pasukan ke pertandingan itu.

Ia dibukakan bagi penyertaan pelajar-pelajar dan guru-guru Tahun 7 hingga Pra U2 dari sekolah-sekolah di negara ini yang mana dalam pusingan pertama, setiap pasukan perlu menghasilkan pertunjukan sains selama lima minit di hadapan hakim-hakim undangan dan juga para hadirin.

Daripada pusingan tersebut, sebanyak lima pasukan terbaik akan dipilih untuk bertanding dalam pusingan akhir, dan pada tahun ini, salah seorang hakim yang diundang ialah Dr Graham Walker bersama dua lagi hakim dari Universiti Teknologi Brunei, Awang Voon Nyuk Hiong dan Dr Somnuk Phon.

Pertunjukan sains daripada guru dan pelajar Sekolah St George.
Pertunjukan sains daripada guru dan pelajar Sekolah St George.

Menurut OGDC, pertandingan tersebut diperkenalkan dengan hasrat untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan para pelajar terutamanya secara berkomunikasi melalui aktiviti sains dan membangunkan potensi individu muda secara holistik dengan menyemai budaya sains.

Walaupun sebahagian peserta mempunyai pengalaman pertama dalam pertandingan ini, tetapi telah menunjukkan hasil yang menggalakkan sehinggakan para hakim merasa kagum dengan persembahan mereka dan berharap dapat melihat prestasi lebih baik pada peringkat akhir Ahad ini.

Lima pasukan terbaik akan bersaing untuk mendapatkan pencapaian tiga teratas pada pusingan akhir yang akan berlangsung Ahad ini bertempat di Dewan Kuliah a2, Universiti Teknologi Brunei.

Tiket-tiket untuk menyaksikan pertandingan ini boleh didapati di kaunter-kaunter pada persembahan jam 2:30, 3:30 dan 4:30 petang.

Untuk keterangan lanjut dan mendapatkan tiket, bolehlah menghubungi OGDC melalui e-mel info@ogdcbrunei.com atau hubungi talian 3377200.

ARTIKEL YANG SAMA