10 pasukan terpilih sertai liga B16

10 pasukan terpilih sertai liga B16

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Sebanyak 10 buah pasukan telah terpilih untuk menyertai Liga Belia NFABD Bawah 16 Tahun yang disokong bersama oleh FIFA bermula 1 Mei ini.

Pasukan-pasukan yang terlibat ialah Tabuan A, Tabuan B, Besa FC, Rimba Star FC, Al Idrus Junior, Kasuka FC, Kilanas FC Junior, Perda FC, BTC Redstar dan PIP.

Menurut kenyataan di sini, kesemua pasukan ini dipilih kerana telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) yang dinasihatkan oleh FIFA.

Antara objektif liga ini adalah untuk memberikan peluang kepada pemain bawah 16 tahun untuk menikmati dan menimba pengalaman di peringkat kebangsaan, menyediakan platform untuk jurulatih di peringkat akar umbi dan pendidikan pengadil, menggalakkan pegawai, jurulatih dan pemain ke arah kesukanan yang baik dan kod adil tingkah laku serta menggalakkan kelab-kelab bola sepak tempatan untuk memulakan pembangunan belia daripada usia awal.

Penganjuran liga ini juga memainkan peranan penting dalam program pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam yang juga memfokuskan untuk membentuk pemain elit untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan dan untuk ditinjau dan dibawa masuk ke dalam program pembangunan bola sepak NFABD yang berstruktur untuk membina pasukan negara masa depan.

Ketika ini, NFABD mempunyai latihan elit di kumpulan umur B13, B14, B15,B16 dan B21. Kumpulan-kumpulan belia ini akan mengambil bahagian dalam perlawanan antarabangsa yang dikelolakan oleh FIFA, AFC dan AFF dalam kumpulan umur masing-masing pada setiap tahun untuk membantu mengukuhkan bola sepak NFABD.

Di samping itu, pihak NFABD juga ingin merakamkan tanda terima kasih terhadap rakan pihak berkepentingan iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, pihak penaja seperti TelBru, Takaful, Aewon, NBT, Super Marketing Air, Kingston, Milo, Radio Televisyen Brunei, Media Permata, Borneo Bulletin, media-media lain dan orang ramai atas sokongan berterusan terhadap bola sepak negara.