10 pasukan teruskan kemaraan

10 pasukan teruskan kemaraan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Sepuluh pasukan mara ke pusingan kedua Kejohanan Futsal Piala Keputeraan Ke-70 Tahun setelah menduduki dua tempat teratas kumpulan masing-masing.

Mereka layak selepas melalui perlawanan peringkat kumpulan bagi Kumpulan A, B, C, D dan E yang berlangsung dari pukul 8:30 pagi hingga 4 petang kelmarin di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Pasukan-pasukan itu ialah Waza U19, MS PDB, Street United, Sahabat FC, Rizfiz FT, NJP FT, Kota Junior, Giovani ‘B’, Shah United ‘A’ dan Wondorers.

Waza U19 layak selaku juara Kumpulan A dengan tujuh mata, diiringi MS PDB dengan enam mata sebagai naib juara. Street United pula menjuarai Kumpulan B dengan tujuh mata manakala Sahabat FC di tempat kedua dengan lima mata.

Rizfiz FT dan NJP FT sama-sama mengutip tujuh mata tetapi Rizfiz FT dikira juara Kumpulan C dengan enam jaringan dan satu bolos berbanding empat jaringan dan dua bolos bagi NJP FT.

Ahli jawatankuasa kejohanan (baju hitam) bersama dua pasukan yang beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A iaitu Al-Idrus FC (hitam kuning) dengan D’TA (merah).
Ahli jawatankuasa kejohanan (baju hitam) bersama dua pasukan yang beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A iaitu Al-Idrus FC (hitam kuning) dengan D’TA (merah).

Kumpulan D berlangsung sengit dengan tiga pasukan sama-sama mengumpul lima mata iaitu Clea’s ‘B’, Giovani ‘B’ dan Kota Junior. Clea’s ‘B’ berputih mata selepas tewas dari segi jaringan iaitu empat jaringan dan satu bolos berbanding Kota Junior dan Giovani ‘B’ yang sama-sama menghasilkan lima jaringan dan satu bolos.

Kumpulan E pula dijuarai Shah United ‘A’ yang mengumpul tujuh mata, disusuli Wondorers dengan empat mata.

Kejohanan akan diteruskan dengan perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan bagi Kumpulan F, G, H, I dan J pula pada 18 September nanti di tempat yang sama bermula pukul 8:30 pagi hingga 4 petang.

Akan bersaing dalam Kumpulan F ialah Syahkampong, Creativol, AJK dan Pega Star sementara Kumpulan G akan menyaksikan persaingan antara Brunei 88, Giovani ‘A’, First Five dan LSCB ‘A’, manakala Shah United ‘B’, Clea’s ‘A’, JS FT dan Matahari FT akan berentap dalam Kumpulan H.

GG FT, Red Butterfly, Silveredz dan Eagle Blues membuat temu janji dalam Kumpulan I, manakala Politeknik, Arbisyam, PES dan ABC menutup tirai peringkat kumpulan dalam Kumpulan J.

ARTIKEL YANG SAMA