10 pekerja asing ditahan

10 pekerja asing ditahan

TUTONG, 22 April – Sepuluh orang warga asing telah ditahan atas kesalahan imigresen dan perjudian dalam Operasi Sepadu Daerah Polis Tutong 01/2016 yang menumpukan rumah-rumah pekerja asing di kawasan Telisai, Keriam serta Lamunin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam operasi yang bermula dari jam 10 malam hingga subuh tadi, tujuh daripada warga asing berkenaan ditahan atas kesalahan Akta Imigresen dan tiga lagi di bawah Akta Rumah Perjudian.

Menerusi operasi itu juga, Unit Interpol Polis Diraja Brunei telah menjalankan pemeriksaan ke atas dokumen perjalanan pekerja asing, jika terkandung dalam pangkalan data INTER-POL yang mengandungi lebih daripada 54 juta rekod dokumen perjalanan yang hilang atau dicuri, bagaimanapun, pemeriksaan tersebut tidak mendapati dokumen perjalanan yang hilang atau dicuri.

Operasi bersepadu berkenaan melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Unit INTERPOL Polis Diraja Brunei dengan keanggotaan seramai 59 orang.

Menurut kenyataan berkenaan, operasi yang dilaksanakan di empat buah lokasi ini merupakan salah satu strategi Daerah Polis Tutong sebagai langkah pencegahan jenayah selain menjadi platform hubungan kerjasama erat dalam kalangan agensi yang terlibat.

Para pegawai dari agensi Penguatkuasa Undang-undang ketika mengendalikan Operasi Sepadu di Daerah Tutong.
Para pegawai dari agensi Penguatkuasa Undang-undang ketika mengendalikan Operasi Sepadu di Daerah Tutong.

Dalam pada itu, Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei turut mengingatkan para majikan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini, serta memantau aktiviti pekerja-pekerja mereka supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

ARTIKEL YANG SAMA