10 pelajar berlepas ke Jepun

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Seramai 10 orang penuntut dari beberapa buah pusat tingkatan enam dan sekolah menengah di keempat-empat daerah telah berlepas ke Jepun bagi Program Jenesys 2016 ASEAN Komposit ke-2 yang membawa tema Peace Building Exchange.

Rombongan pelajar berkenaan diketuai oleh Penolong Pekerja Kanan Belia dan Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Maslinawati @ Madihah Raneya binti Haji Paun.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Dayang Maslinawati semasa ditemui berkata, harapan dan objektif  menyertai program berkenaan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta menimba ilmu pengetahuan untuk diguna pakai di Negara Brunei Darussalam.

“Sepanjang program berkenaan, para peserta akan mengadakan perjumpaan dengan para peserta lainnya dan saling bertukar pendapat mengenai kedua-dua buah negara,” jelasnya.

Seramai 10 orang pelajar dari beberapa buah pusat tingkatan enam dan sekolah menengah di keempat-empat daerah telah berlepas ke Jepun bagi Program Jenesys 2016 ASEAN Komposit ke-2.
Seramai 10 orang pelajar dari beberapa buah pusat tingkatan enam dan sekolah menengah di keempat-empat daerah telah berlepas ke Jepun bagi Program Jenesys 2016 ASEAN Komposit ke-2.

Program berkenaan akan berlangsung selama sembilan hari hingga 21 Februari di Tokyo, Jepun. Menerusi lawatan berkenaan rombongan akan dapat membangunkan hubungan persahabatan, kefahaman dan kerjasama dengan penduduk Jepun serta di antara satu dengan yang lain.

Menurut Dayang Maslinawati, rombongan akan dibahagikan kepada lima kumpulan dan mereka bersama peserta dari negara-negara lainnya akan berpeluang untuk mengikuti beberapa aktiviti seperti orientasi, mendengarkan taklimat mengenai kebudayaan dan kesenian Jepun dan membuat lawatan ke Edo-Tokyo Museum dan Sensoji Temple.

Rombongan juga akan membuat lawatan ke Hiroshima dan Nagasaki di mana mereka akan dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah seperti Nagasaki Atomic Bomb Museum dan Hiroshima Peace Memorial Museum.

Seterusnya rombongan juga akan membuat kunjungan ke sekolah-sekolah menengah dan berinteraksi dengan para penuntut Jepun serta berpeluang untuk menyertai program inap desa dan tinggal bersama keluarga angkat dan menyertai pelbagai aktiviti menarik lain.