10 pelajar mangsa kebakaran dibantu

10 pelajar mangsa kebakaran dibantu

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Seramai 10 orang pelajar dari Sekolah Rendah Datu Ahmad dan Sekolah Menengah Awang Semaun yang merupakan mangsa kebakaran di Kampung Burong Pingai Ayer dan di Kampung Lurong Dalampada 27 September dan 5 Oktober lepas, hari ini menerima sumbangan derma daripada pihak Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Sumbangan disampaikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Rendah Sungai Kebun, Kluster 2.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Nudin bin Haji Mohammad; Ketua Unit Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Selamat bin Abdullah; Ketua Unit Pemantauan Infrastruktur Sekolah, Haji Ismail bin Haji Tiah; pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, pengetua, guru besar dan guru-guru dari sekolah-sekolah berkenaan serta ibu bapa pelajar yang terlibat.

Haji Mohd Sharifuddin menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Mohd Sharifuddin menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para penerima dan ibu bapa mereka berserta pengetua dan guru besar serta pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah.
Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para penerima dan ibu bapa mereka berserta pengetua dan guru besar serta pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah.

Pelajar-pelajar tersebut dari dua buah keluarga, masing-masing menerima sumbangan derma dalam bentuk wang tunai berjumlah $410 setiap seorang. Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan derma daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Sekolah-sekolah dan juga dari sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dalam Kluster 2.

Sumbangan derma yang dihulurkan adalah sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap musibah yang menimpa para pelajar berkenaan.