10 pelajar Tahfiz diraikan dalam majlis khatam

10 pelajar Tahfiz diraikan dalam majlis khatam

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Seramai 10 orang mahasiswa dan mahasiswi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam jurusan Diploma ‘Aliyah Qiraat sesi pengajian 2013-2016 telah diraikan pada Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran sempena Haflut Takharruj kali ke-4, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang juga Pengerusi Lembaga institut berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Majlis yang berlangsung di Musolla institut berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat dan disusuli dengan bacaan surah-surah lazim daripada bakal graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat.

Majlis kemudian dimeriahkan dengan bacaan takhtim oleh peserta khatam manakala Doa Khatam dibacakan oleh salah seorang bakal graduan Diploma ‘Aliyah, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini, dan bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Awang Yusairi bin Haji Asbol.

Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan sijil khatam hafaz kepada para peserta.

Hadir sama pada majlis itu ialah pegawai-pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai, pensyarah, guru-guru serta ibu bapa dan bakal graduan program Diploma ‘Aliyah Qiraat.

Majlis khatam berkenaan adalah salah satu acara iringan sempena Haflut Takharruj kali ke-4 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan berlangsung pada 8 September 2016 ini di Dewan Utama Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA