10 pelampau Yahudi kena sekatan pergerakan

10 pelampau Yahudi kena sekatan pergerakan

BAITULMAQDIS, 24 Ogos (AFP) – Pihak berkuasa Israel menyekat pergerakan 10 orang di tengah-tengah tindakan keras ke atas pelampau Yahudi berikutan serangan maut membabitkan pembakaran rumah keluarga warga Palestin, menurut pihak berkuasa semalam.

Arahan itu berkisar daripada pengharaman memasuki Tebing Barat yang diduduki Israel, di mana sejumlah penempatan Yahudi diketahui didiami oleh kumpulan belia yang berpegang kepada fahaman melampau.

Agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet berkata serangan “muncul” dari pos terpencil the Habaladim berhampiran Duma, kampung Palestin di mana kejadian pembakaran rumah yang mengorbankan anak damit berusia 18 bulan dan bapanya berlaku pada Julai.

“Berikutan beberapa insiden ganas baru-baru ini, termasuk yang meragut jiwa manusia…arahan sekatan ditandatangani beberapa hari lepas ke atas 10 orang aktivis,” kata Shin Bet dalam satu kenyataan.

“Arahan ini termasuk beberapa sekatan, di antaranya ke atas kawasan kejiranan, pergerakan pada malam hari dan mencegah kemasukan mereka ke (Tebing Barat), tempat di mana serangan muncul.”

Gambar fail menunjukkan sanak saudara mangsa pembakaran rumah warga Palestin oleh pelampau Yahudi sehingga mengakibatkan kematian anak damit berusia 18 bulan dan bapanya, melihat di bahagian dalam rumah mangsa. – AFP
Gambar fail menunjukkan sanak saudara mangsa pembakaran rumah warga Palestin oleh pelampau Yahudi sehingga mengakibatkan kematian anak damit berusia 18 bulan dan bapanya, melihat di bahagian dalam rumah mangsa. – AFP

Jurucakap Shin Bet enggan untuk mengulas, termasuk sama ada mereka yang bertanggungjawab melakukan pembakaran rumah sudah meninggalkan Habaladim atau jika mereka adalah dari sana.

Berikutan kejadian pembakaran tersebut, tiga pelampau Yahudi diletakkan dalam tahanan khas, bentuk yang mencetuskan kontroversi kerana ia kebiasaannya digunakan ke atas warga Palestin.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melabelkan perbuatan membakar rumah berkenaan sebagai “pengganasan” dan berikrar akan mengambil tindakan ke atas mereka melalui apa cara sekali pun.