10 penulis meterai perjanjian

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Seramai 10 orang penulis tempatan telah menandatangani perjanjian bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit karya mereka pada majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, petang tadi.

Antara 10 penulis yang hadir menandatangani perjanjian tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman atau lebih dikenali sebagai Badaruddin H.O; Muslim Burmat, Dayang Norsiah binti Abdul Gapar, Dr. Rozaiman bin Makmun, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, Haji Bujang bin Haji Matnor dan ramai lagi.

Hadir selaku tetamu khas dan menandatangani perjanjian bagi pihak DBP ialah wakil DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab bersama Ketua Bahagian Perancangan Buku, DBP, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku pengerusi majlis.

Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Majlis Penandatanganan Perjanjian Penerbit-Penulis itu merupakan perjanjian berupa persetujuan antara dua pihak iaitu penerbit dengan penulis yang memuatkan aturan dan pensyaratan secara komprehensif mengenai buku yang akan diterbitkan.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut menandatangani perjanjian tersebut bersama pegawai-pegawai DBP, petang kelmarin.

Ketika ditemu bual, Penyelaras Majlis, Dayang Nur Halimatul Syahirah binti Mudim Haji Matassim menjelaskan, majlis itu diadakan bagi menjalin kesepakatan antara penerbit dengan penulis dan seterusnya memastikan sama ada perjanjian itu akan diambil tindakan lanjut atau sebaliknya.

Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada para penulis untuk berkumpul, berinteraksi dan bertukar-tukar fikiran mengenai isu yang berkaitan dengan buku.

Beliau menjelaskan lagi bahawa DBP memilih buku untuk diterbitkan berdasarkan kepada kualiti buku dan memilih kira-kira sebuah buku bertaraf mega setiap kali pelancaran buku diadakan sama ada dalam genre buku ilmiah, umum, kanak-kanak dan sastera.

Di samping itu, DBP akan bergiat secara aktif menyalurkan sumber cerita kanak-kanak dalam bentuk digital/elektronik (e-book) sejajar dengan perkembangan globalisasi seperti yang dinyatakan oleh tetamu khas semasa menyampaikan ucapannya.