10 peratus gaji harus disimpan

10 peratus gaji harus disimpan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Unit Pengurusan Harta, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah mengadakan taklimat perancangan kewangan bagi kira-kira 50 kakitangan kumpulan DST yang berlangsung di ibu pejabat DST, di Tungku Link.

Menurut kenyataan BIBD, taklimat telah disampaikan oleh Perancang Kewangan Islam BIBD, Dayang Rozielawati binti Haji Jamil yang telah memperkenalkan asas perancangan kewangan untuk mencapai matlamat kehidupan di samping tip-tip perbelanjaan berhemat.

Beliau turut menasihatkan supaya menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bulanan sebagai nisbah sesuai bagi tabung simpanan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan untuk menyumbang kepada pertubuhan amal, menekankan faedah perkongsian ke atas mental dan kerohanian individu.

Menurut kenyataan itu, taklimat ini adalah sebahagian daripada matlamat BIBD itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai faedah pengurusan kewangan yang lebih baik, menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran celik kewangan di negara ini dalam mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai berjimat menerusi perancangan kewangan bagi keperluan masa depan.

Ia juga diharapkan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan perancangan kewangan, pada masa yang sama menanamkan budaya menyimpan dalam membantu orang ramai mencapai matlamat kehidupan mereka serta sebagai persediaan bagi sebarang perkara yang tidak dijangkakan.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Unit Pengurusan Harta BIBD dan aktiviti-aktiviti mereka bolehlah menghantar e-mel ke alamat wmu@bibd.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA