10 pesara polis dirai

10 pesara polis dirai

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 23 Dis – Sepuluh pesara polis yang terdiri daripada seorang pegawai dan sembilan anggota pangkat rendah di Daerah-daerah Polis Belait dan juga Tutong yang menamatkan perkhidmatan dalam tahun 2013 hingga 2015, telah diraikan dalam majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis seterusnya menyampaikan cenderahati kepada para pesara yang diraikan ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan, Superintenden Kanan Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad dan isteri beliau, Hajah Norayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohammad Nawawi yang juga menyampaikan cenderamata kepada isteri para pesara polis berkenaan.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin bin Haji Jafaruddin selaku Penasihat Majlis, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt. Haji Chipli bin Haji Mohamad dan Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malik bin Haji Abu Bakar.

Para pesara yang diraikan terdiri daripada mantan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Mohd Hadini bin Haji Othman, Sarjan Mejar 1565 Kalong/Ibrahim bin Ismail, Sarjan Mejar 1450 Jamil bin Haji Abas, Sarjan Mejar 1444 Wong Hong Seng, Sarjan Mejar 2420 Anggi Anak Tutong, Staf Sarjan 1546 Salleh bin Haji Metussin, Staf Sarjan 323 Talip bin Naim, Staf Sarjan 2148 Nurul Iswadi bin Abdullah, Sarjan 1499 Mohd Kifli bin Abdullah Uja dan APO/Lans Koperal 5351 Nyanggai Anak Elija.

Antara tujuan majlis adalah untuk memberi penghargaan kepada semua bekas anggota yang telah bersara dari Pasukan Polis Diraja Brunei di samping mengenang jasa-jasa yang telah mereka sumbangkan kepada pasukan dan negara sama ada dari segi tenaga dan buah fikiran.

Tetamu Kehormat bergambar ramai bersama anggota polis yang bersara.
Tetamu Kehormat bergambar ramai bersama anggota polis yang bersara.

Kesemua mereka yang diraikan dalam majlis ini bersara semasa bertugas di Daerah Polis Belait dan Daerah Polis Tutong.

Setelah 37 tahun bertugas dengan Pasukan Polis Diraja Brunei, salah seorang pesara, Sarjan Mejar (B) Awang Kalong @ Ibrahim bin Ismail ketika ditemui telah melahirkan hasratnya untuk meluangkan masa bersama keluarga serta membuat perniagaan kecil-kecilan di kediaman beliau di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang, Tutong.

Ditanya bagaimana pengalamannya sebagai anggota polis boleh digunakan dalam Pengawasan Kejiranan di kampungnya, beliau berkata, mana-mana isu keselamatan kampung boleh dihadapkan di majlis-majlis keramaian sebelum memulakan acara, atau di masjid dan surau di mana ceramah boleh diadakan untuk penduduk kampung supaya nasihat dan saranan dapat diberikan kepada mereka.

“Pelbagai mesyuarat ahli-jawatankuasa MPK (Majlis Perundingan Kampung) juga boleh diadakan di mana penduduk kampung boleh berbincang bersama-sama mengenai cara menangani kegiatan jenayah yang sering berlaku di kampung,” ujarnya.

Menyentuh mengenai belia-belia kampung, beliau menyarankan agar mereka diserapkan dalam biro-biro di bawah MPK untuk melibatkan diri dalam kegiatan yang mendatangkan kebaikan kepada kampung dan diri supaya mereka tidak terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah atau pun tidak bermoral.

Beliau juga menyokong penuh usaha Pengawasan Kejiranan untuk bekerjasama dengan pihak polis dan faedah yang berguna apabila menggunakan khidmat mana-mana pesara polis yang tinggal di kampung masing-masing dalam membuat rondaan ke kawasan-kawasan tertentu serta mempelajari kaedah-kaedah dan tip keselamatan yang disediakan oleh pihak polis.

ARTIKEL YANG SAMA