10 peserta sertai bengkel CONFEX

10 peserta sertai bengkel CONFEX

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Seramai 10 peserta dari sektor kerajaan dan swasta yang berlatar belakang sebagai pengurus kemudahan, pengurus projek, pihak pengurusan aset, jurutera, dan pengurus hartanah menghadiri bengkel intensif CONFEX, Latihan Pengurusan Bangunan dan Kemudahan yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Bengkel yang diadakan di Restoran RMS Portview Seafood, Tingkat 1, CONFEX Lounge, Jalan Sultan, di ibu negara itu dikendalikan oleh pelatih berpengalaman dan berkelayakan dari Malaysia, Ainul Ali bin Hassanuddin yang merupakan Ketua Kemudahan Bangunan (Pengurus Kanan) yang memfokuskan dalam operasi dan penyelenggaraan semua syarikat dan cawangan-cawangan kilang pembuatan dan kemudahan bangunan pejabat di Malaysia.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Marquette University, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat) dan juga merupakan seorang ‘Authorised Entrant and Standby Person (AESP)’, Pegawai Bertauliah Keselamatan Kesihatan dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Malaysia, serta Jurutera Berdaftar di Lembaga Jurutera, Malaysia.

Antara tujuan bengkel adalah untuk melengkapkan para peserta dengan pemahaman meluas daripada semua aspek pengurusan kemudahan bangunan.

Menerusi bengkel ini, para peserta juga akan dapat memahami pengetahuan asas mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai pengurus kemudahan, pelbagai jenis kemudahan sistem dan peralatan yang akan membolehkan sesebuah syarikat mengendalikan dan mengekalkan bagi mencapai aspek-aspek operasi persekitaran, keselamatan dan perlindungan yang dikehendaki bangunan, sementara mengurangkan kos operasi melalui konsep bangunan mapan dan pengurusan tenaga yang cekap.

Selain bengkel intensif berkenaan, CONFEX juga akan mengadakan Bengkel Pengurusan Keselamatan Maklumat pada 15 dan 16 Mac 2016, serta Bengkel Ingatan ‘Super’ dan Kemahiran Belajar (Super Memory and Study Skills Workshop) pada 31 Mac 2016.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latihan dan acara-acara korporat yang dianjurkan oleh CONFEX, bolehlah melayari laman sesawang www.confex-mice.com.

ARTIKEL YANG SAMA