10 peserta sertai bengkel pengurusan

10 peserta sertai bengkel pengurusan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Seramai 10 orang peserta dari sektor kerajaan dan swasta yang berperanan sebagai pengurusan eksekutif, pengurus projek dan penghantaran, jurutera dan pengurus perolehan, menghadiri bengkel ‘Pengurusan Kontrak Lanjutan: Teknik Pengurusan Pembekal’ anjuran CONFEX yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Restoran RMS Portview Seafood, Tingkat 1, CONFEX Lounge, Jalan Sultan di ibu negara.

Seorang tenaga pengajar berpengalaman dan berkelayakan dari Australia, Dr. Richard Jenkins telah didatangkan secara eksklusif oleh CONFEX untuk menjalankan bengkel berkenaan. Beliau merupakan pakar dalam bidang kemahiran bahasa, komunikasi, dan pengurusan serta pemahaman analitis, pengurusan perjanjian/kontrak & perundingan pembekal.

Bengkel ini bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan kemahiran dan teknik yang diperlukan bagi mewujudkan hubungan perdagangan lebih berjaya dengan vendor yang menyediakan produk-produk dan perkhidmatan yang diperlukan untuk menjayakan program dan projek organisasi.

Menerusi bengkel ini, para peserta akan dapat memahami bagaimana untuk memaksimumkan nilai hubungan mereka dengan pembekal berdasarkan matlamat, harapan dan batasan khusus bersama dan mengawal risiko-risiko berkaitan pembekal dan menguruskan hubungan berisiko tinggi dengan sewajarnya.

Antara peserta yang menghadiri bengkel berkenaan.
Antara peserta yang menghadiri bengkel berkenaan.

CONFEX Training Services telah merancang untuk mengadakan satu siri latihan sepanjang tahun ini untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan dengan pelbagai isu-isu semasa yang relevan dengan keperluan perniagaan individu tempatan.