10 tahanan terkorban dalam cubaan lari

10 tahanan terkorban dalam cubaan lari

MANILA, 12 Ogos – Sepuluh tahanan di Filipina terbunuh apabila satu kejadian lari dari penjara dan percubaan menculik warden menemui kegagalan di pinggir bandar Manila, kata pihak berkuasa hari ini.

Tahanan, termasuk dua warga China, bertemu dengan warden penjara Bandar Paranaque di pejabatnya apabila letupan berlaku pada petang semalam, membunuh banduan dan mencedera warden tersebut, kata jurucakap perkhidmatan penjara negara Inspektor Kanan Xavier Solda.

Letupan berlaku tatkala Presiden Filipina Rodrigo Duterte melancarkan perang dadah, membawa kepada pembunuhan beratus peniaga dadah dan penangkapan beribu-ribu lagi, sekali gus menyesakkan lagi penjara.

Siasatan awal menunjukkan letupan berpunca daripada bom tangan, dengan sepucuk pistol juga ditemui dari tempat kejadian, beritahu Solda kepada wartawan.

Pengawal bersenjata dari penjara Bandar Paranaque berdiri mengawal ketika mereka mengeluarkan mayat banduan yang terkorban dari penjara di Paranaque, sub bandar Manila awal 12 Ogos. – AFP
Pengawal bersenjata dari penjara Bandar Paranaque berdiri mengawal ketika mereka mengeluarkan mayat banduan yang terkorban dari penjara di Paranaque, sub bandar Manila awal 12 Ogos. – AFP

“Siasatan awal menunjukkan kemungkinan ia merupakan satu kejadian lari dari penjara dan penculikan tebusan,” tambah beliau. Solda menggambarkan lelaki yang terbunuh sebagai banduan terkenal, menambah lapan di antara mereka, termasuk dua warga China, dikaitkan dengan dadah sementara dua orang lain dipenjarakan kerana kesalahan merompak.

Beliau berkata banduan telah meminta untuk bertemu dengan warden tetapi masih tidak jelas kenapa dia berbuat demikian tanpa pengawal peribadi.

“Satu-satunya orang yang boleh menjelaskan kejadian ini adalah warden tetapi beliau berada di hospital dan mungkin memerlukan pembedahan,” kata Solda. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA