10 terpilih ke peringkat akhir

10 terpilih ke peringkat akhir

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Lima orang qari dan lima lagi qariah terpilih ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1437H/2016M yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Mereka merupakan finalis daripada 58 orang peserta peringkat separuh akhir yang diumumkan oleh jemaah Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 2016M, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh di Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 2016M di Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Berakas, hari ini.

Peserta qari terdiri daripada Awang Mohd Zul Hafiz bin Awang Tengah, Awang Mohammad bin Ali, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dan Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin. Manakala peserta qariah ialah Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat, Dayang Norezah binti Haji Mohd Deli, Dayang Hajah Nurfaezah binti Haji Emran, Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli dan Dayang Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyampaikan cenderamata kepada qari dan qariah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Haji Nasrul Fakhri memperdengarkan bacaannya.
Haji Nasrul Fakhri memperdengarkan bacaannya.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderamata.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderamata.
Sebahagian daripada mereka yang menghadiri majlis musabaqah kelmarin.
Sebahagian daripada mereka yang menghadiri majlis musabaqah kelmarin.

Menurut Pengerusi Jemaah Hakim, Haji Abdul Rajid, musabaqah selama tiga hari itu menunjukkan mutu bacaan peserta yang semakin matang dan persaingan sengit antara satu sama lain, sekali gus menunjukkan kesungguhan para peserta tahun ini.

“Secara keseluruhannya, hampir semua peserta telah memulakan bacaan dengan baik kerana di permulaan bacaan biasanya fokus bacaan dan suara masih dapat dikawal.

“Begitu juga pada pertengahan bacaan para peserta akan meneruskan cabaran mengikut keupayaan dan pembawaan, selagi mana fokus bacaan maka selagi itulah bacaan peserta akan bertambah yakin dan mantap, namun di kemuncak bacaan, sebahagian peserta akan terus fokus dan yakin serta mantap dan akan hilang fokus kerana pada peringkat ini peserta akan lebih mencabar dengan mahattah terakhir akan menjadi penentu sama ada bacaan itu tamam, memiliki zaoq yang indah atau samar-samar.”

Menurut beliau lagi, penyertaan bakat-bakat muda juga telah memberikan saingan kepada para peserta yang telah lama berkecimpung dan mengharapkan peserta-peserta muda terus berusaha bagi mempertingkatkan mutu bacaan bukan sahaja dari sudut tajwid dan lagu tetapi juga dari segi pengawalan suara, nafas dan penjagaan permakanan serta sentiasa mencari dan mengkaji kaedah-kaedah pembacaan yang masyhur sebagai rujukan.

Majlis juga diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh salah seorang peserta qari yang terpilih.