10 warga Jerman maut dalam serangan Istanbul

10 warga Jerman maut dalam serangan Istanbul

BERLIN, 13 Jan (AFP) – Sepuluh warga Jerman terbunuh dalam kejadian serangan pengebom berani mati di tempat pelancongan bersejarah yang terletak di tengah Istanbul semalam, demikian menurut Kementerian Luar Jerman.

“Saya mesti menyampaikan berita sedih ini bahawa kini 10 yang maut adalah rakyat Jerman,” kata jurucakap kementerian, Sawsan Chebli, hari ini.

Beliau berkata, tujuh mangsa yang cedera juga warga Jerman yang kini ditempatkan di hospital Istanbul, manakala lima lagi di unit rawatan rapi.

Canselor Jerman, Angela Merkel semalam berkata, lapan daripada 10 yang maut dalam letupan di Istanbul adalah rakyat Jerman.

Chebli berkata, dua lagi mangsa rakyat Jerman itu meninggal dunia ketika di hospital. Setakat ini tidak jelas angka sebenar kematian yang dikeluarkan pihak berkuasa Turki sama ada masih kekal 10 atau bertambah.

Angela Merkel dan menteri-menteri lain memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa serangan berani mati di Istanbul. – Reuters
Angela Merkel dan menteri-menteri lain memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa serangan berani mati di Istanbul. – Reuters

Canselor Jerman, Angela Merkel semalam berkata lapan warga Jerman telah terbunuh dalam serangan berani mati pengeboman semalam yang melanda di tengah-tengah daerah pelancongan di Istanbul, sambil menambah bahawa Berlin berazam untuk meletakkan perjuangan.

Seorang pegawai Turki sebelum ini berkata bahawa sekurang-kurangnya sembilan orang Jerman diantara 10 orang yang terbunuh dalam serangan bom yang meletup di daerah Sultanahmet yang bersejarah itu.

Tidak lama selepas serangan itu, Berlin memberi peringatan kepada rakyatnya untuk menghindari dari orang ramai dan tempat pelancongan di Istanbul.

Serangan itu berlaku, berhampiran kawasan tumpuan pelancong terkenal Masjid Biru, di Sultanahmet, daerah yang terkenal dengan bangunan bersejarah di sekitar Istanbul.

Kerajaan Turki menyalahkan militan IS bertanggungjawab melakukan serangan itu, juga dua serangan pada Oktober tahun lalu di ibu negara Turki, Ankara yang membunuh lebih daripada 100 orang.

Sementara itu, agensi berita Turki, Anadolu melaporkan, polis anti keganasan di bandar Antalya menahan tiga warga Russia ketika serbuan terhadap militan IS susulan serangan itu.

Anadoulu melaporkan, suspek dikatakan mempunyai kaitan dengan militan IS di zon konflik dan menyediakan bantuan logistik kepada kumpulan terbabit.