100 hadiri jerayawara CIPTA

100 hadiri jerayawara CIPTA

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 25 Mei – Kira-kira 100 orang pelajar sekolah menengah, institusi teknikal, syarikat-syarikat swasta dan orang awam telah menghadiri Majlis Jerayawara Pertandingan CIPTA (Creative, Innovative Products and Technological Advancement) Pengiran Muda Mahkota 2017 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan di sini, hari ini.

Daerah Belait menjadi lokasi pertama jerayawara tersebut sebagai usaha mempromosikan pertandingan bagi tahun depan yang akan ditutup penyertaannya pada 31 Oktober nanti, manakala itu, jerayawara seterusnya akan diadakan di Daerah Temburong pada Julai depan, Daerah Tutong pada September dan Brunei-Muara pada Ogos nanti.

Majlis yang dikendalikan oleh jawatankuasa kerja pertandingan tersebut bagi tahun 2017 itu telah dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Belait, Haji Hasmiron bin Haji Mohd Taib, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, guru-guru dan para pegawai dari Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd yang merupakan penaja utama pertandingan tahunan itu.

Haji Hasmiron bersama para hadirin lain pada Majlis Jerayawara Pertandingan CIPTA.
Haji Hasmiron bersama para hadirin lain pada Majlis Jerayawara Pertandingan CIPTA.
Antara penyampai taklimat mengenai Pertandingan CIPTA 2017 di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan.
Antara penyampai taklimat mengenai Pertandingan CIPTA 2017 di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan.

Acara kemuncak jerayawara tersebut ialah penyampaian taklimat oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal Pertandingan CIPTA 2017, antaranya mengenai kepentingan kreativiti dan inovasi yang berkaitan dengan pertandingan tersebut yang disampaikan oleh Haji Sahrul Tazrajiman bin Haji Tajuddin dan Awang Zainidi bin Haji Abdul Hamid.

Kemudian diikuti dengan taklimat mengenai kategori pertandingan, syarat-syarat dan peraturan menyertai, hadiah-hadiah dan anugerah, tarikh penting, proses penghakiman dan contoh projek yang dikemukakan dalam pertandingan nanti.

Majlis turut diteruskan dengan forum terbuka yang memberikan ruang dan peluang untuk yang hadir mendapatkan penjelasan berkaitan dengan pertandingan tersebut.

Bagi tahun 2017, pertandingan akan menyediakan tema antaranya Inovasi Kemapanan Ekonomi, yang mengetengahkan tentang pentingnya menyokong wawasan negara bagi memupuk masyarakat inovatif yang mampu menghasilkan pelbagai ekonomi mapan berdasarkan budaya, ilmu dan inovasi.

Pertandingan CIPTA telah mula diadakan sejak tahun 2005 dengan dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang sebelum ini dikenali sebagai Institusi Teknologi Brunei (ITB).

ARTIKEL YANG SAMA