100 juta? United gila

100 juta? United gila

BERLIN, 21 Ogos (AFP) – Thomas Mueller dari Bayern mentertawakan laporan Manchester United yang mahu mendapatkannya sehingga 100 juta euro (AS$109 juta) dengan bintang dari Jerman itu menggambarkan jumlah itu sebagai ‘gila’.

Harian Jerman Bild telah memetik jumlah itu tetapi pengerusi Bayern Karl-Heinz Rummenigge berkata penyerang berusia 25 tahun itu bukan untuk dijual dan pemain antarabanga Jerman mentertawakan jumlah tersebut.

“Pada dasarnya jumlah yang gila berlaku dalam bola sepak. Ia adalah satu perniagaan,” Mueller memberitahu badan penyiaran Jerman, Sport1 dengan United sudah mendapatkan kapten Jerman Bastian Schweinsteiger Julai lalu.

“Tidak seorang pun bernilai 100 juta euro. Ia hanyalah jumlah perdagangan, jadi saya merasa tenang mengenai semua perkara.” Bagaimanapun, Mueller berkata pertemuan dengan seorang peminat Isnin lalu selepas menentang Dynami Dersden memberikannya pandangan untuk difikirkan.

“Di Dresden, seorang peminat memberikan ucapan kepada saya dengan fon mega: “Hei, lelaki 100 juta, berapakah harga jersi anda? Ia menjadikan saya tersenyum,” tambah Mueller selepas kemenangan Bayern 3-1 ke atas pasukan divisyen tiga itu.

Thomas Mueller meraikan jaringan semasa menentang Hamburger untuk aksi Bundesliga di Munich, 14 Ogos lalu. – Reuters
Thomas Mueller meraikan jaringan semasa menentang Hamburger untuk aksi Bundesliga di Munich, 14 Ogos lalu. – Reuters

Bayern memulakan musim Liga Jerman Jumaat lalu dengan kemenangan 5-0 ke atas Hamburg di Munich.

Gergasi Bavaria itu berusaha untuk menjadi pasukan pertama memenangi empat gelaran liga berturut-turut dan Mueller berkata pasukan Pep Guardiola itu berazam untuk mengulangi tiga kejayaan 2013 apabila berjaya merangkul mahkota Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman.

“Kami tidak perlu memenanginya (tiga kejayaan) tetapi kami mahukannya,” kata Mueller. “Daripada potensi yang kami ada, kami adalah dari kumpulan pilihan dalam Liga Juara-Juara,” kata Mueller.

“Tetapi separuh akhir atau suku akhir selalunya persaingan yang sengit. Jadi anda memerlukan nasib dan sekumpulan pemain yang tepat pada masa yang sesuai.”

ARTIKEL YANG SAMA