100 kubur terjejas akibat hujan lebat

100 kubur terjejas akibat hujan lebat

KUCHING, 31 Dis – Kira-kira 100 kubur di tanah perkuburan Islam Kampung Bako Hulu kira-kira 30 kilometer dari sini terjejas akibat hujan lebat yang dialami sejak semalam.

Ketua Kampung Bako Hulu, Wahid Sani, 61, berkata hujan lebat luar biasa yang dialami sejak selepas Isyak semalam mengakibatkan tanah di kawasan perkuburan yang terletak di kawasan bukit kampung itu mendap.

“Mendapan mengakibatkan kedudukan kubur berubah. Ada kubur yang jatuh dari kedudukan asal,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memaklumkan perkuburan berkenaan berusia kira-kira 160 tahun, sama dengan kewujudan kampung berkenaan.

Tinjauan Bernama di perkuburan berkenaan mendapati penduduk kampung giat bergotong-royong memasang plastik penutup hakisan menutup kubur-kubur bagi mengurangkan kesan hakisan air hujan yang lebat.

Kira-kira 100 kubur di tanah perkuburan Islam Kampung Bako Hulu, kira-kira 30 kilometer dari sini terjejas akibat hujan lebat yang dialami sejak semalam. – Bernama
Kira-kira 100 kubur di tanah perkuburan Islam Kampung Bako Hulu, kira-kira 30 kilometer dari sini terjejas akibat hujan lebat yang dialami sejak semalam. – Bernama

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Bako, Mohtar Mahrup, 70, berkata kejadian berkenaan amat mengejutkan dan kejadian tersebut adalah kali pertama berlaku di kampung itu.

“Hujan lebat sejak lepas Isyak semalam. Tapi mulai Subuh tadi hujan makin lebat dan air bukit yang turun menyebabkan kedudukan kubur terjejas hingga ada kubur yang berubah kedudukan.

“Ada kubur yang jatuh dan menimpa kubur yang lain,” katanya.

Mohtar berkata penduduk kampung kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada pusat aduan bencana dan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak segera menghantar plastik penutup hakisan ke kampung berkenaan.

Selain Kampung Bako Hulu, kawasan perkuburan berkenaan turut digunakan penduduk Kampung Bako Hilir dan Kampung Bako Lot.

ARTIKEL YANG SAMA