100 murid diraikan di Majlis Khatam

100 murid diraikan di Majlis Khatam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Sept – Hampir 100 orang murid Tahun 6 dan 8 Sekolah Arab Belait telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran Kedua yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Pegawai sekolah tersebut dalam temu bual bersama Media Permata memberitahu, pihak Jabatan Pengajian Islam hanya mengkhususkan majlis berkenaan kepada murid-murid Tahun 6 sahaja, bagaimanapun pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk melibatkan murid-murid Tahun 8, kerana mereka tidak berkesempatan menyertai majlis seumpamanya semasa dalam Tahun 6.

Sehubungan itu, katanya, dengan adanya majlis itu, murid-murid Tahun 6 dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebelum meneruskan pembelajaran di peringkat menengah. Sementara bagi murid Tahun 8 pula diharapkan akan mempunyai kenangan melalui majlis itu sebelum mereka melanjutkan pembelajaran ke Tahun 9 di Mahad Islam Brunei bagi murid-murid lelaki dan ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) bagi murid-murid perempuan.

Hampir 100 orang dalam kalangan murid-murid Tahun 6 dan 8 Sekolah Arab Belait menyertai Majlis Khatam Al-Quran kali kedua.
Hampir 100 orang dalam kalangan murid-murid Tahun 6 dan 8 Sekolah Arab Belait menyertai Majlis Khatam Al-Quran kali kedua.

Menurutnya lagi, majlis itu juga diharap akan menyuntik semangat kepada murid-murid yang sudah khatam dan murid-murid lainnya di sekolah itu supaya menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian selain dapat meningkatkan tahap pembacaan terutamanya dari segi fasahah (sebutan huruf) dan hukum tajwid.

Majlis berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat, kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Tahun 7 dan doa khatam oleh wakil peserta khatam Tahun 6 iaitu Awang Muhammad Muiz Haizam bin Mazlan.

Kemudian majlis diserikan dengan Dikir Marhaban oleh murid-murid lelaki Tahun 5 dan 7 sebelum penyampaian sijil khatam dan merenjis minyak wangi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada Dayang Siti Nur Ameerah Atiqah binti Mohd Amiruddin, murid Tahun 6 yang merupakan mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Teraban pada pertengahan Ogos lalu. Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada empat orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Al-Azhar Mesir yang telah mengikuti latihan mengajar dan secara sukarela telah menyambung tempoh latihan hingga ke hari ini bagi sama-sama menjayakan majlis khatam.

Sesi bergambar ramai sejurus selepas bacaan doa selamat mengakhiri majlis berkenaan yang juga turut bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim antara guru-guru, murid dan ibu bapa serta penjaga murid.