100 orang sertai Majlis Kuliah Dhuha

100 orang sertai Majlis Kuliah Dhuha

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Jamalul Alam dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait telah menganjurkan Majlis Kuliah Dhuha baru-baru ini.

Kuliah tersebut telah melibatkan penyertaan di kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah dan Muslimah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Seramai kira-kira 100 orang telah menyertai kuliah tersebut, yang diadakan antara lain bertujuan untuk menyahut hasrat dan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala di atas nikmat dan rezeki yang telah dikurniakan kepada hambaNya.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk membudayakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Sunat Dhuha, membaca zikir, Ratib Al-Attas kepada peserta-pesertanya serta menjadikan zikir sebagai amalan harian dan budaya dalam kehidupan seharian.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasminan bin Haji Mohd Taib.

Kuliah Dhuha yang melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan, dan ahli jawatankuasa takmir masjid serta jemaah masjid.
Kuliah Dhuha yang melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan, dan ahli jawatankuasa takmir masjid serta jemaah masjid.

 

Majlis turut diserikan dengan bacaan zikir dan Ratib Al-Attas.
Majlis turut diserikan dengan bacaan zikir dan Ratib Al-Attas.

Majlis telah dimulakan dengan Solat Tahiyatul Masjid, yang disusuli dengan mengerjakan Solat Sunat Dhuha dan Hajat secara berjemaah diimamkan oleh Pemangku Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Aminordin bin Haji Mohd Yussof.

Kuliah Dhuha yang banyak menyentuh mengenai kelebihan Solat Dhuha dan Ratib Al-Attas telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Majlis diteruskan lagi dengan membaca Ratib Al-Attas yang telah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Haji Mohd Alias bin Bakar dan bacaan Doa Khas telah dibacakan oleh Ketua Kawasan 1 Masjid Daerah Belait, Awang Akup bin Haji Lamat.

ARTIKEL YANG SAMA