100 orang terima daging korban

100 orang terima daging korban

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Seramai 100 orang menerima agihan daging korban pada Majlis Ibadah Korban yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Komuniti Annur Harapan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di kawasan letak kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Pada majlis tersebut, seekor sapi telah dikorbankan sumbangan daripada Penasihat PBSM cawangan Daerah Belait, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Dato Paduka Haji Mohd Yussof, manakala seekor lagi sumbangan dari Pusat Khidmat Komuniti Annur Harapan yang disertai oleh seramai 14 orang.

Hadir bagi mengagihkan daging-daging korban berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Annur Harapan, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit.

Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman menyerahkan daging korban kepada salah seorang penerima.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman menyerahkan daging korban kepada salah seorang penerima.

Turut mengagihkan daging-daging berkenaan kepada para penerima ialah Datin Hajah Siti Hajar.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dibacakan oleh ahli PBSM Brunei Darussalam.

Penerima-penerima daging korban terdiri daripada asnaf fakir miskin, ibu-ibu tunggal dan rakan seliaan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA