100 pelajar SM YSHHB terima penghargaan

100 pelajar SM YSHHB terima penghargaan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Lebih 100 orang pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SMYSHHB) telah menerima anugerah di atas pencapaian akademik mereka dalam satu majlis yang berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan, hari ini.

Anugerah akademik berkenaan dibahagikan kepada lima kategori iaitu anugerah pelajar cemerlang keseluruhan, pelajar cemerlang di dalam kelas, pelajar cemerlang mengikut mata pelajaran, pembaca terbaik dan kedatangan terbaik.

Anugerah Ko-Kurikulum pula dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pelajar lelaki dan perempuan CCA terbaik, kelab CCA terbaik dan pemenang aktiviti akhir tahun.

Hadir menyampaikan anugerah berkenaan ialah tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.

Semasa berucap pada majlis berkenaan, Dato Paduka Haji Mohd Roselan berkata, majlis seumpama ini sudah tentu akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para pelajar lain untuk terus berusaha dalam merealisasikan visi dan misi sekolah.

Awang Marwan Azizi, pelajar Tahun 9.
Awang Marwan Azizi, pelajar Tahun 9.
Dayang Siti Hakeemah Sabrina ketika ditemu bual.
Dayang Siti Hakeemah Sabrina ketika ditemu bual.
Dayang Norfilzahtulain, penerima anugerah cemerlang 2016.
Dayang Norfilzahtulain, penerima anugerah cemerlang 2016.

Beliau juga berharap agar kejayaan pelajar-pelajar ini akan membakar semangat mereka untuk terus menempa kejayaan demi kejayaan, namun, berdasarkan hasil kajian, guru memainkan peranan penting untuk memastikan pencapaian cemerlang pelajar berterusan.

“Dalam konteks ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2016 baru-baru ini, telah bertitah menekankan pentingnya para guru menyumbang kepada kualiti pendidikan dan pemangkin kepada produktiviti tenaga sumber manusia negara ini.

“Baginda juga menekankan kualiti pendidikan boleh dicapai melalui pendekatan ‘Whole of Nation’ serta boleh diukur menerusi beberapa petunjuk prestasi utama kebangsaan yang telah dikenal pasti di bawah strategi pendidikan Wawasan Brunei 2035,” jelas beliau.

Beliau juga berkata, dari perspektif keunikan dan keunggulan sesebuah sekolah, ia sering dilihat berdasarkan kualiti pelajar yang dilahirkan oleh sekolah berkenaan.

Beliau difahamkan ke arah mencapai aspirasi sekolah untuk menjadi sebuah institusi elit dengan wawasan global, SMYSHHB telah mengembangkan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan dalam program antarabangsa antaranya lawatan dari Wakayama Jepun, mengikuti Seminar Kepimpinan Belia di River Valley High School Singapura dan banyak lagi.

“Untuk itu, syabas juga diucapkan kepada pihak sekolah yang telah bekerja keras dalam meningkatkan lagi kualiti sekolah demi menepati peningkatan jangkaan pihak yang berkepentingan terutama dalam memenuhi kehendak globalisasi yang sentiasa berubah mengikut kemajuan teknologi pada masa ini.”

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata, bagi mencapai yang dihasratkan kepada yang lebih baik daripada yang terbaik, sekolah ini hendaklah terus membina dan menanamkan keperibadian para pelajar selaras dengan kualiti yang telah ditekankan dalam SPN 21.

Beliau kemudian menegaskan bahawa dalam giat untuk meraih kecemerlangan, para pelajar hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai Melayu Islam Beraja sebagai jati diri bangsa untuk menangkis pelbagai anasir negatif mahupun cabaran sosial yang boleh mengugat ketenteraman bangsa dan negara.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual tiga orang pelajar terbaik keseluruhan iaitu Dayang Siti Hakeemah Sabrina binti Haji Mohd Sabri, pelajar dari Tahun 7; Dayang Norfilzahtulain binti Haji Hambri dari Tahun 8; dan Awang Marwan Azizi bin Haji Rayme dari Tahun 9.

Ketiga-ketiga pelajar berkenaan masing-masing meluahkan rasa gembira kerana terpilih sebagai pelajar cemerlang akademik bagi tahun 2016. Mereka berkata, berkat hasil usaha beterusan dan sokongan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan para guru akhirnya membuahkan hasil.

ARTIKEL YANG SAMA