100 saudara b...

100 saudara baru terima baucar Ya-Nur

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Mei – Menjelang Ramadan yang bakal disambut minggu depan, 100 orang saudara baru di Daerah Belait menerima baucar bernilai $30 dari Pasar Raya Ya-Nur Trading Sdn Bhd dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan baucar tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengerusi Syarikat Kumpulan Serikandi dan Ya-Nur Trading Company Sdn Bhd, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad dan isteri, Hajah Latifah binti Ambran.

Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu, mengatakan penerima sumbangan merupakan mualaf terpilih yang baru memeluk agama Islam.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas sumbangan syarikat itu dan berharap amalan kebajikan seumpamanya akan menjadi ikutan pihak lain bagi sama-sama membantu golongan yang memerlukan di daerah ini.

Shaikh Khalid ketika menyampaikan baucar kepada salah seorang saudara baru.
Shaikh Khalid ketika menyampaikan baucar kepada salah seorang saudara baru.
Hajah Latifah menyampaikan sumbangan kepada mualaf perempuan.
Hajah Latifah menyampaikan sumbangan kepada mualaf perempuan.

Beliau turut memaklumkan bahawa penerima bantuan Pusat Dakwah Islamiah mulai April lalu, bantuan kepada mualaf telah diambil alih oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan mengingatkan mereka yang belum mengembalikan borang MUIB agar segera melakukannya bagi tindakan lanjut diambil.

Majlis penyampaian baucar tersebut turut diserikan dengan penyampaian tazkirah Ramadan disampaikan oleh Awang Nur Aisamuddin bin Muhammad Hanafi dari Bahagian Dakwah, Daerah Belait, yang menyentuh mengenai makna Ramadan dan perkara yang berkaitan dengannya.

ARTIKEL YANG SAMA