100 sertai Bengkel Pengurusan Keselamatan Tingkah Laku

100 sertai Bengkel Pengurusan Keselamatan Tingkah Laku

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada pakar perunding, jurutera, syarikat swasta tempatan, pegawai dan kakitangan kerajaan, ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei telah menghadiri Bengkel Pengurusan Keselamatan Tingkah Laku di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), hari ini.

Bengkel yang bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang itu telah dikendalikan oleh penceramah undangan dari United Kingdom iaitu Pakar Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Keith Rhodes.

Beliau antara lain menyentuh mengenai pengenalan keselamatan tingkah laku, prinsip kriteria kesihatan dan keselamatan (H&S), sebab-sebab bagi H&S dan juga Sistem Pengurusan H&S.

Menurutnya, H&S sangat penting kerana mengikut perangkaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), 340 juta kemalangan berlaku setiap tahun dengan jumlah korban sebanyak 2.3 juta orang atau 6,000 maut setiap hari.

Daripada jumlah kemalangan itu, 160 juta berkaitan dengan pekerjaan dan melibatkan kehilangan empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia setiap tahun.

Keith Rhodes ketika menyampaikan ceramahnya.
Keith Rhodes ketika menyampaikan ceramahnya.
Antara peserta yang menyertai Bengkel Pengurusan keselamatan itu.
Antara peserta yang menyertai Bengkel Pengurusan keselamatan itu.

Terdapat tiga sebab bagi H&S yang harus diketahui dan dipelajari iaitu moral, undang-undang dan kewangan.

Beliau kemudian menjelaskan mengenai sistem pengurusan kesihatan dan keselamatan di mana sistem ini mempunyai kitarannya sendiri yang terdiri daripada dasar keselamatan dan kesihatan, amalan pengurusan, kaedah pengiktirafan, penilaian dan kawalan.

Bengkel anjuran PUJA (B) dengan kerjasama Akademi PUJA Sdn Bhd ini diadakan untuk menggalakkan pekerja membuat sumbangan dan cadangan ke arah kesihatan yang berterusan dan peningkatan keselamatan di samping mewujudkan persekitaran untuk menggalakkan tenaga pekerja mengulangi tingkah laku dalam menyokong perniagaan dan mengelakkan kerugian.

Selain itu, ia juga diadakan untuk memperbaiki komunikasi antara pihak pengurusan dan tenaga kerja bagi menangani punca amalan yang tidak selamat dan berusaha ke arah penyelesaian yang kekal.

ARTIKEL YANG SAMA