100 sukarelawan siswa ikuti misi YSS-ASEAN ke S’wak

100 sukarelawan siswa ikuti misi YSS-ASEAN ke S’wak

PUTRAJAYA, 17 Feb – Seramai 100 sukarelawan siswa akan mengikuti misi pertama Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa-ASEAN (YSS-ASEAN) tahun ini ke Sarawak, selama dua minggu mulai 20 Februari ini.

Misi anjuran YSS ke bumi kenyalang itu juga turut disertai mahasiswa dari negara ASEAN iaitu masing-masing seorang dari Kemboja dan Brunei.

Pengerusi YSS Datuk Zuraidah Atan berkata sepanjang berada di sana, mereka akan melaksanakan pelbagai projek kemasyarakatan di Kampung Batang Maro, Kabong, Nanga Nyimoh dan Nanga Telamat, Sarawak.

“Sukarelawan siswa juga akan membantu melalui khidmat komuniti seperti pemasangan dan pembinaan projek penapis air bersih di kampung terbabit selain membantu pembinaan pintu gerbang, baik pulih sistem perpaipan dan lain-lain,” katanya kepada media kelmarin

Majlis pelepasan Misi Sukarelawan Siswa YSS-Asean ke Sarawak 2016 itu disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching di perkarangan kementerian itu di sini.

Datuk Mary Yap Kain Ching (tengah) bersama sukarelawan Misi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-ASEAN Sarawak di lobi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia kelmarin. – Bernama
Datuk Mary Yap Kain Ching (tengah) bersama sukarelawan Misi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-ASEAN Sarawak di lobi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia kelmarin. – Bernama

Zuraidah berkata sukarelawan juga akan melaksanakan program pembelajaran danpengajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Maro, SK Nanga Nyimoh dan SK Nanga Telamat.

“Kami juga menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan dari penaja seperti Yayasan Bank Rakyat, Kenanga Islamic Investor Bhd dan Nadi Ayu Technology bagi misi berimpak tinggi kali ini,” katanya.

Yap dalam ucapannya berkata program kesukarelawan sebegini dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya kepimpinan tinggi dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.

“Oleh demikian, saya meminta mahasiswa yang terlibat dalam misi sukarelawan untuk berkongsi pengalaman dengan orang lain agar mereka sedikit sebanyak dapat menimba pengetahuan daripada anda.

“Hal ini kerana misi sukarelawan dapat memupuk semangat berdikari dan sikap memberikan khidmat bakti kepada masyarakat secara sukarela tanpa meminta sebarang habuan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA